MINALI (kanan) memecut laju menuju ke garisan penamat pada LTdL peringkat keempat dari Dungun ke Pekan sejauh 183.8 kilometer. -Foto BERNAMA
MINALI (kanan) memecut laju menuju ke garisan penamat pada LTdL peringkat keempat dari Dungun ke Pekan sejauh 183.8 kilometer. -Foto BERNAMA
Haika Khazi 


PELUMBA Astana Pro Team, Riccardo Minali meraih kemenangan keduanya di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 selepas mengungguli peringkat keempat perlumbaan dari Dungun, Terengganu ke Pekan, Pahang, sejauh 183.3 kilometer (km) hari ini.

Pelumba dari Itali yang  memenangi peringkat kedua di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin mengatasi saingan sengit daripada kelompok utama untuk melepasi garisan penamat dengan catatan masa 4 jam 10 minit 14 saat diikuti rakan senegara, Andrea Guardini daripada pasukan Bardiani CSF.

Pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Hariff Saleh yang dipalit kontroversi, semalam turut melakukan kejutan apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga daripada  keseluruhan 121 pelumba yang bersaing dengan catatan masa sama.

Kemenangan di Pekan membolehkan Minali merampas jersi Hijau (Raja Pecut) daripada pelumba KSPO Bianchi Asia Procycling (KSP) dari Korea Selatan, Seo Joonyong tetapi jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan masih kekal dipakai pelumba Rally Cycling Team, De Vos Adam.

Jersi Putih selaku pelumba Terbaik Asia kekal milik pelumba Malaysia  yang mewakili pasukan Forca-Amskins, Nik Mohd Azwan Zulkiflie.

“Laluan landai hari ini memang sesuai untuk pakar pecut dan saya hanya menyimpan tenaga untuk henjutan terakhir. Begitupun, cubaan seorang pelumba (Callum Scotson/Michelton-Bikeexchange) menyebabkan semua pasukan berkayuh laju sebelum dapat menangkapnya pada kilometer terakhir.

"Saya mula menghenjut deras lebih awal dan gembira dapat mengekalkan kedudukan walaupun bersaing dengan Guardini. Kemenangan hari ini sedikit manis kerana Guardini tiada di Kota Bharu tempoh hari,” kata pelumba berusia 22 tahun yang juga anak kepada Nicola Minali, bekas pakar pecut era 90an.

Biarpun terdapat pemecahan awal membabitkan enam pelumba – Rustom Lim dan Arjay Peralta (7-Eleven); Zhang Zheng (Hengxiang); Choi Seongwoo (KSPO); Muhammad Nur Aiman Zariff (Sapura) dan Sarawut Sirionnachai (Thailand Continental) yang menguasai tiga zon pecutan dan satu zon pendakian di sepanjang laluan, peloton terus memastikan mereka tidak dapat melebarkan jarak.

Walaupun perbezaan masa pada suatu ketika mencecah 5 minit 10 saat, tatkala Sarawut tercicir daripada kumpulan depan, peloton tetap tenang dengan CCC Sprandi dan Astana bertindak memacu kayuhan sebelum dapat menelan mereka pada baki 10 kilometer terakhir.

Dalam pada itu, Minali berkata pasukannya meletakkan sasaran untuk memburu jersi Kuning menerusi Yevgeniy Gidich dan jersi Hijau yang dipakainya ketika ini.

Perlumbaan LTdL 2018 bakal diteruskan lagi esok dengan peringkat kelima yang bakal menyaksikan 121 pelumba akan melalui laluan paling mencabar dan sukar kerana terpaksa melakukan banyak pendakian berikutan bentuk muka buminya berbukit-bukau dari Bentong - Cameron Highlands sejauh 169.4km.

 

Info 

Keputusan peringkat keempat LTdL 2018

1. Riccardo Minali – ASTANA, 4 jam 10:1 saat 

2. Andrea Guardini – BARDINI CSF – sama

3. Mohd Harrif Saleh – TSG – sama

Jersi Kuning (Keseluruhan)

1. Adam De Vos – RALLY CYCLING – 16:55:45s

2. Nik Mohd Azwan Zulkifli – FORCA AMSKIN – 16:55:59s

3.  Harrison Sweeney – MITCHELTON BIKEEXCHANGE – 16:58:07s

Jersi Hijau (Raja Pecut)

1. Riccardo Minali – ASTANA – 38 mata

2. Andrea Guardini –BARDINI – 31 mata

3. Kim Daeyeon – KSPO – 27 mata

Jersi Merah Polka Dot (Raja Bukit)

1. Bernardo Suaza Arango – MANZANA POSTOBON – 19 mata

2. Marcelo Felipe – SEVEN ELEVN – 18 mata

3. Muhammad Abdurohman – KFC – 11 mata

Jersi Putih: Nik Mohd Azwan Zulkiflie

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 7:24 PM