SIRITSA (dua dari kanan) mengangkat tangan selepas memenangi perlumbaan peringkat pertama LTdL 2022 dari Kuala Pilah ke KLCC, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
SIRITSA (dua dari kanan) mengangkat tangan selepas memenangi perlumbaan peringkat pertama LTdL 2022 dari Kuala Pilah ke KLCC, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Usaha keras pasukan Jelajah Dunia, Astana-Qazaqstan untuk menghambat kumpulan pemecah membabitkan sembilan pelumba membuahkan hasil apabila Gleb Siritsa muncul juara peringkat pertama Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022, hari ini.

Mereka sebelum itu membiarkan sembilan pelumba menguasai saingan termasuk dua wakil Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Jambaljamts Sainbayar dan Nur Aiman Zariff yang memungut mata di zon pecutan dan pendakian.

Astana mula mengorak langkah dengan mengetuai peloton sebelum diikuti beberapa pasukan berstatus Jelajah Dunia lain seperti EF Education-Easy dan Movistar, namun tuah ternyata milik Siritsa yang terlebih dulu melintasi garisan penamat.

Pelumba Uno X-Pro Cycling, Erlend Blikra muncul tempat kedua, manakala Max Kanter dari Movistar menduduki tempat ketiga.

"Saya sangat gembira kerana inilah kemenangan sulung saya dalam perlumbaan antarabangsa.

"Saya berterima kasih kepada pasukan dan staf. Pendakian ini sangat sukar buat saya," kata pakar pecutan berusia 22 tahun itu.

Perlumbaan sejauh 157.3 kilometer dari Kuala Pilah ke Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC) berlangsung dengan penuh mencabar apabila hujan melanda di pertengahan perlumbaan di bandar Seremban sehingga ke KLCC.

Selain Aiman dan Sainbayar, turut berada dalam kelompok depan pada perlumbaan peringkat pertama ini ialah Trym Holther (Drone Hopper), Tiano Da Silva (ProTouch), Carter Bettles (ARA Pro Racing Sunshine Coast), Peerapol Chawchiangwang (Thailand CT), Etienne van Empel (China Glory), Nik Azwan Nik Zulkifli (Malaysia), John Salazar (Filipina).

Zon pecutan pertama di Senaling menjadi milik Salazar, diikuti Peerapol dan Da Silva.

Ketika di zon pecutan kedua di Rembau ia berjaya disambar Sainbayar diikuti Peerapol dan Nur Aiman.

Sainbayar turut menyambar zon pecutan terakhir di Senawang diikuti Peerapol dan Nik Azwan.

Pelumba kelahiran Mongolia itu turut merangkul jersi merah selaku Raja Bukit apabila mengungguli zon pendakian pertama di Senaling dan keempat di Tekali.

Peringkat kedua esok dijadual berlangsung dari Kuala Kelawang ke Raub yang membabitkan laluan sejauh 178.9km dan menyediakan dua zon pendakian di Petaseh (KM 8.2) dan Bukit Damar (KM 122.8).

Selain itu, laluan turut mempunyai tiga zon pecutan iaitu di Simpang Durian (KM 42.7), Karak (KM 96.8) dan Mempaga (KM 144.1).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 5:44 PM