PEMENANG tempat ketiga peringkat ke 6, Mohd Harrif Saleh pada Le Tour De Langkawi 2018 di Tanjung Malim. - Foto Eizairi Shamsudin
PEMENANG tempat ketiga peringkat ke 6, Mohd Harrif Saleh pada Le Tour De Langkawi 2018 di Tanjung Malim. - Foto Eizairi Shamsudin
Haika Khazi


PELUMBA Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Hariff Salleh sekali lagi menceriakan peminat sukan berbasikal Malaysia apabila menduduki tempat ketiga buat kali kedua pada peringkat keenam pelumbaan Le Tour de Langkawi 2018 (LTdL) yang berakhir di Tanjung Malim, sebentar tadi.

Sebelum ini, Mohd Hariff mencatat sejarah tersendiri apabila muncul pelumba tempatan pertama menduduki tempat ketiga pada peringkat keempat perlumbaan LTdL 2018 dari Dungun, Terengganu ke Pekan, Pahang, sejauh 183.3 kilometer (km), Rabu lalu.

Bagaimanapun, perlumbaan peringkat keenam hari ini sejauh 108.5 kilometer (km) dari Tapah ke Tanjung Malim, Perak, dimenangi oleh pelumba Itali yang mewakili pasukan Wilier Triestina-Selle Italia (WIL), Pacioni Luca, dengan catatan masa 2:24.55 saat (s), manakala pelumba Astana Pro Team (Astana), Riccardo Minali (kedua). Jersi kuning kekal milik pelumba TSG dari Russia, Ovechkin Artem.

Walaupun pun menjadi peringkat paling pendek, kayuhan sejauh 108km yang bermula jam 3 petang itu menempuh cuaca unik apabila pelumba mengharungi cuaca panas terik sebelum ditimpa hujan pada pertengahan jalan.

Percaturan Pacioni, pelumba 22 tahun yang pernah menyarung jersi pasukan Colpack, Lampre-Merida dan Androni sebelum menyarung jersi Wilier musim ini serta masih segar dengan kemenangan satu peringat di Tour of Gabon dan Tour of Taiwan sebelum hadir ke LTdL 2018, nyata tepat apabila dapat mengekang henjutan Minali dan Mohd Hariff sebelum tiba di garisan penamat.

"Sebelum menghampiri selekoh terakhir kira-kira 100 meter dari garisan penamat, saya sudah mula menghenjut untuk mencari posisi yang selesa di selekoh. Tetapi rakan sepasukan Zhupa (Eugert) juga bekerja keras hari ini untuk membawa saya ke depan.

"Kemenangan ini lebih manis dan membuktikan kepada pasukan bahawa saya juga boleh memecut walaupun saya bukanlah pakar pecut tulen. Saya tidak takut untuk bersaing dalam pecutan terakhir. Yang penting ialah bijak mencatur strategi,” kata Pacioni yang tekad menambah koleksi kemenangan pada baki peringkat LTdL ini di Muar dan Kuala Lumpur.

Biarpun Luca menang peringkat keenam LTdL 2018, namun jersi kuning selaku pendahulu perlumbaan kekal milik seorang lagi pelumba TSG iaitu Ovechkin Artem, dari Russia yang mengumpul catatan masa keseluruhan 23 jam 46 minit 29 saat.

Ovechkin juga turut merampas jersi Merah Polka Dot selaku Raja Bukit daripada pelumba Forca Amskins Racing (FAR), Duarte Sandoval; jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia kini dimiliki Gidich Yevgeniy mewakili Astana, manakala Minali kekal selaku pemilik jersi Hiaju (Raja Pecut).

Perlumbaan LTdL 2018 peringkat ketujuh esok bakal menyaksikan semua pelumba akan melakukan kayuhan paling jauh iaitu sejauh 222.4km dari Nilai ke Muar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 9:21 PM