CALLEJON (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto EPA
CALLEJON (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. -Foto EPA
AFP

MILAN: Napoli bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Lazio 4-1 sekali gus merampas kedudukan tangga teratas Serie A daripada juara bertahan, Juventus.

 

Juventus yang melakar kemenangan 2-0 ke atas Fiorentina meletakkan mereka di tangga teratas, Jumaat lalu tetapi skuad kendalian Maurizio Sarri memberi reaksi dengan penuh bergaya apabila mengekalkan kelebihan satu mata ke atas juara liga enam kali itu.

 Ia adalah kekalahan ketiga buat Lazio yang berada di tangga ketiga - 17 mata di belakang Napoli - dan kini kedudukan mereka terancam oleh Inter Milan dan AS Roma apabila masing-masing turun menentang Bologna serta Benevento, malam ini.

 

“Ia adalah kemenangan yang diraih menerusi jiwa dan raga,” kata penjaring gol Napoli, Jose Callejon yang mahu membantu kelab itu merekodkan gelaran Serie A kali ketiga dan pertama sejak 1990.

 “Kami berkerjasama untuk mencapai impian. Kami akan berikan yang terbaik sehingga hujung saingan.”

 

“Impian sudah berada dalam fikiran kami sejak hari pertama latihan pra musim dan kami perlu teruskannya.”

 Dalam perlawanan itu, Lazio membuka tirai jaringan menerusi Stefan de Vrij seawal minit ketiga tetapi Jose Callejon berjaya menyamakan kedudukan minit ke-43.

 

Sebaik babak kedua bersambung, Napoli menguasai keseluruhan perlawanan dan berjaya meledak tiga lagi gol menerusi jaringan sendiri Wallace minit ke-54, Mario Rui (5') Dries Mertens (73).

 

“Saya tidak dapat terima permainan seperti ini. Kami berhak untuk kalah, kami tidak bermain dengan baik pada babak kedua dan apabila bertemu pasukan seperti Napoli, inilah akibatnya,” kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 10:38 AM