ONAZI (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
ONAZI (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
AFP

Milan: Gol lewat Ogenyi Onazi dan Miroslav Klose memastikan tangga ketiga buat Lazio dalam Serie A kelmarin selepas kemenangan hebat 4-2 ke atas Napoli sekali gus menempah tempat ke play-off Liga Juara-Juara musim depan.

Ketika Juventus dan AS Roma sudah memastikan tempat automatik ke Liga Juara-Juara, Napoli perlu menang di San Paolo bagi merampas kedudukan Lazio di tangga ketiga dan layak ke play-off pertandingan utama Eropah itu.

Namun selepas bangkit pada babak kedua menerusi dua gol Gonzalo Higuain selepas gol awal Marco Parolo dan Antonio Candreva membantu Lazio mendahului 2-0 pada rehat babak pertama, pemain Argentina itu kecewa apabila sepakan penaltinya melambung beberapa minit kemudian, kegagalan penalti keempatnya musim ini, bagi membantu kebangkitan Lazio.

Ketika perlawanan seimbang 2-2 dan dengan kedua-dua pasukan beraksi 10 pemain, Lazio sudah memastikan tangga ketiga.

Namun pelawat mengasak bagi memastikan kedudukan lima minit sebelum tamat apabila Onazi menyukarkan laluan Napoli dengan menewaskan penjaga gol Mariano Andujar.

Pemain veteran Jerman, Klose menambah gol keempat Lazio pada masa kecederaan bagi memastikan penamat gembira pada musim tidak menentu buat Biancocelesti, yang baru-baru ini tumpas final Piala Itali kepada Juventus dan tewas kepada Roma pada pertembungan jiran setempat minggu lalu.

“Kami melakukan tugas hebat malam ini untuk menamatkan musim hebat,” kata Candreva.

“Mujurlah Higuain gagal menyempurnakan penalti tapi kami memang berhak meraih tangga ketiga dan menyambutnya terutama selepas kekalahan memilukan pada pertembungan jiran setempat.”

Kekalahan Napoli, selain kemenangan 3-0 Fiorentina ke atas Chievo, menyaksikan anak buah Rafael Benitez merudum satu anak tangga ke tangga kelima dalam apa yang dilihat perlawanan terakhir pengendali Sepanyol itu yang dilapor akan berpindah ke Real Madrid.

Napoli menyertai Fiorentina pada Liga Europa musim depan dengan Sampdoria, yang berakhir di tangga ketujuh tiga mata di belakang Genoa, dijangka meraih tempat ketiga ke pertandingan itu selepas musuh setempat mereka tidak diberi lampu hijau beraksi di Eropah kerana stadium mereka tidak menepati piawaian UEFA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 9:20 AM