KOULIBALY (tengah) meraikan jaringannya ketika Napoli menewaskan Juventus dalam aksi Serie A. -Foto EPA
KOULIBALY (tengah) meraikan jaringannya ketika Napoli menewaskan Juventus dalam aksi Serie A. -Foto EPA

TURIN: Pertahanan Senegal, Kalidou Koulibaly meledak gol menakjubkan di penghujung perlawanan untuk mengekalkan harapan Napoli menjulang gelaran Serie A susulan kemenangan 1-0 ke atas Juventus, awal pagi tadi.

Kemenangan menyaksikan Napoli kini hanya dibezakan dengan satu mata di belakang penyandang juara Itali itu.

Koulibaly menanduk masuk gol menerusi tandukan berpunca daripada sepakan sudut Jose Callejon untuk memberikan Napoli kemenangan pertama di Stadium Allianz.

Kekalahan ada yang ketiga dalam saingan liga buat Juventus tetapi gergasi Itali itu masih menghuni tangga teratas dengan kelebihan satu mata berbaki empat perlawanan. 

Juventus mengumpul 85 mata daripada 34 perlawanan manakala Napoli yang memburu gelaran Scudetto ketiga dalam sejarah kelab itu selepas 1987 dan 1990 memiliki 84 mata.

“Kami tahu ia amat sukar dan perlawanan yang penting, tetapi kami melakukan apa saja untuk menang,” kata Koulibaly, 26.

“Bandaraya ini meningkatkan semangat kami sejak beberapa lalu dan apabila kami melihat peminat-peminat yang menemani kami ke lapangan terbang, ia membuatkan kami lebih gembira.

“Kami mahu berterima kasih kepada mereka dan cara terbaik untuk melakukannya ialah dengan memenangi perlawanan.”

Ketika skuad kendalian Maurizio Sarri sentiasa menghadirkan tekanan dengan pelbagai peluang untuk menjaringkan gol, Juventus tampak sedikit longlai dengan satu-satunya cubaan berbahaya hadir menerusi sepakan percuma Miralem Pjanic yang menggegar palang.

Kapten Napoli, Marek Hamsik dua kali hampir memecah kebuntuan pada babak kedua ketika jaringan Lorenzo Insigne pada babak pertama dibatalkan kerana ofside dengan cubaan pemain gantian, Piotr Zielinski diselamatkan Gianluigi Buffon.

“Ia bukan perlawanan yang sempurna tetapi ia perlawanan yang hebat. Kami tidak melepaskan sebarang gol kepada Juventus dan kemenangan adalah sesuatu yang logik pada tahap ini,” kata Sarri. - AFP

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 11:02 AM