TOTTI (kanan) dipeluk bekas pemain Juventus Alessandro Del Piero.
TOTTI (kanan) dipeluk bekas pemain Juventus Alessandro Del Piero.

Milan: Ikon AS Roma, Francesco Totti menerima tepukan gemuruh daripada penyokong yang meraikannya ketika wisel penamat apabila Roma terus membuatkan Juventus tertunggu-tunggu gelaran Serie A dengan kemenangan 3-1 di Stadio Olimpico kelmarin.

Juventus yang memburu tiga gelaran berkunjung ke ibu negara itu berharap dapat meraih sekurang-kurangnya satu mata untuk memastikan gelaran keenam scudetto berturut-turut dengan baki dua perlawanan.

Namun biarpun menuju ke babak kedua dengan kedudukan seri apabila Daniele De Rossi memadamkan jaringan Mario Lemina pada minit ke-21 buat pelawat, Juventus dikejutkan menerusi dua jaringan Stephan El Shaarawy dan Radja Nainggolan pada babak kedua.

Kemenangan ke-26 Roma musim ini meletakkan skuad kendalian Luciano Spalletti kembali ke tangga kedua, hanya ketinggalan empat mata berbanding pendahulu, satu mata mengatasi Napoli yang menyaksikan Jose Callejon menjaringkan dua gol sebelum menang besar 5-0 di Torino sebelum itu.

Ia membuatkan skuad ibu negara itu terus dalam saingan untuk kelayakan automatik kedua ke Liga Juara-Juara dan memusnahkan harapan Juve meraikannya di laman musuh ketat mereka.

“Selepas kemenangan Napoli, kedudukan liga mula merisaukan kami,” kata kapten Roma De Rossi.

“Juve bermula dengan baik dan kami ketinggalan satu gol. Apa yang kami perlukan adalah seri tapi kami membalasnya dengan baik. Perlawanan yang hebat, malam yang hebat.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 9:13 AM