MOHAMAD (tengah)  dan Azam (lima dari kiri) bersama pemain pasukan bola sepak Negeri Sembilan di Seremban, semalam.
MOHAMAD (tengah) dan Azam (lima dari kiri) bersama pemain pasukan bola sepak Negeri Sembilan di Seremban, semalam.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus memantau kemungkinan berlaku aktiviti rasuah dalam bola sepak menjelang saingan Liga Malaysia 2018 yang bermula bulan depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, langkah itu diambil kerana isu rasuah bola sepak membabitkan pemain negara masih belum reda.

Katanya, pihaknya akan meneruskan siasatan dan memberi amaran kepada mereka yang terbabit dalam kegiatan rasuah.

“SPRM akan terus memantau kerana kegiatan mengatur keputusan perlawanan bola sepak di negara ini masih di tahap serius. Baru-baru ini, kegiatan tidak sihat ini berlaku membabitkan Liga Bola Sepak Rakyat di negeri ini.

“Statistik juga menunjukkan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, terdapat 132 kes rasuah bola sepak, 23 kertas siasatan dibuka dengan 15 tangkapan manakala lima daripadanya dituduh.

“Kita tidak tahu di mana silapnya. Walaupun pemain bola sepak sekarang menerima bayaran gaji tinggi, tetapi rasuah tetap berlaku dan ini berbeza dengan pemain pada awal 1970-an dulu di mana mereka mempunyai integriti,” katanya.

Azam berkata, sukan bola sepak mempunyai kaitan dengan integriti kerana penyokong mengharapkan pasukan kesayangan mereka mencatat kemenangan secara bermaruah.

Beliau berkata, penyokong ketika ini juga bijak dan dapat menilai persembahan sesebuah pasukan sama ada berlaku kegiatan menjual perlawanan atau sebaliknya.

“Mereka yang didapati terbabit dalam kegiatan mengatur perlawanan bakal terdedah kepada hukuman lebih berat termasuk dibuang daerah selain dilarang bergiat aktif dalam sukan itu untuk suatu tempoh yang lama.

“Saya nasihatkan pemain bola sepak negeri ini supaya menolak rasuah demi karier dan masa depan. SPRM akan terus melakukan tindakan penguatkuasaan yang tegas bagi membendung kegiatan ini sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) di Klana Resort di sini, kelmarin.

Hadir sama Menteri Besar merangkap Presiden PBNS Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Setiausaha Kehormat PBNS Datuk Abd Halim Abd Latif.

Pada majlis itu, seramai 145 kakitangan PBNS, pegawai, jurulatih dan pemain Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia Negeri Sembilan melafazkan ikrar bebas rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 3:34 AM