Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas gagal meraih sebarang kejayaan di Liga Perdana musim 2014, skuad Negeri Sembilan bakal berubah wajah apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) melakukan rombakan besar-besaran pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2015.

Musim 2014 skuad Hoben Jang Hoben sekadar berada di tempat keenam Liga Perdana dengan lapan kemenangan daripada 22 perlawanan selain gagal layak menyertai kempen Piala Malaysia selepas dikecewakan T-Team pada perlawanan play-off.

Menteri Besar yang juga Presiden PBNS Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selain menamatkan kontrak khidmat ketua jurulatih V Sundramoorthy, sekurang-kurangnya lapan pemain musim 2014 akan digugurkan kerana aksi hambar selain ada yang sudah tamat kontrak.

Katanya, biarpun Sundramoorthy mempunyai kontrak setahun lagi dengan PBNS, pihaknya terpaksa menggantikannya selepas gagal mencapai sasaran ditetapkan iaitu membawa pasukan Negeri Sembilan kembali ke Liga Super musim 2015.

“Dalam dunia profesional, ini bukan perkara baru kerana komitmen amat penting, justeru kita akan menggantikan dengan ketua jurulatih baru yang diharap mampu membawa pasukan layak ke Liga Super musim berikutnya.

“Beberapa pemain tempatan berwibawa juga akan kita serap bagi memberi semangat baru kepada pasukan,” katanya.

Menurut Mohamad, pihaknya mahu menyusun kembali kekuatan pasukan itu yang pernah menjulang Piala Malaysia 2009 dan 2011 dengan harapan dapat kembali layak ke saingan Liga Super musim 2016.

Sementara itu sumber memberitahu Arena Metro, bekas jurulatih Pulau Pinang, K Devan adalah calon yang bakal mengisi kekosongan itu.

Devan pernah mengendalikan skuad Rusa yang menjuarai Liga Super musim 2005/2006.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:06 AM