ZHULIANG (kanan) tidak membiarkan Qiang terlepas jika melakukan kesalahan.
ZHULIANG (kanan) tidak membiarkan Qiang terlepas jika melakukan kesalahan.
Fadhli Ishak


KETUA jurulatih terjun negara Yang Zhuliang menganggap dakwaan dia cuba menutup kesalahan jurulatih sokongan, Huang Qiang tidak berasas sama sekali.

Zhuliang mengakui Qiang, yang berasal dari China dan mendapat kerakyatan Malaysia pada tahun 2012, berperwatakan gila-gila tetapi dia tidak pernah membiarkannya terlepas jika melakukan kesalahan.

Merujuk kepada insiden membabitkan Pandelela Rinong dan Qiang ketika permainan bola tampar, Zhuliang berkata dia menghukum jurulatihnya itu di hadapan seluruh pasukan.

"Kadang kala atlet-atlet berasa bosan di antara waktu latihan dan biasanya mereka akan bermain bola tampar di mana mereka yang kalah akan disepak,” kata Zhuliang.

“Mereka gembira apabila dapat menyepak Qiang apabila dia tewas, tetapi seluruh pasukan menyepaknya. Ia sekadar suka-suka, tidak ada apa-apa yang serius. Tetapi ada satu ketika Huang Qiang menyepak Pandelela agak kuat dan dia naik berang.

"Kami bersemuka dan saya bercakap dengan kedua-duanya di hadapan seluruh pasukan. Saya memberi amaran kepada Huang Qiang yang seorang jurulatih tidak sepatutnya melakukan perkara sebegitu.

“Saya mengarahkan mereka untuk hanya bermain bola tampar pada masa akan datang, tiada lagi sepak menyepak dibenarkan. Saya sentiasa menasihati Huang Qiang dan memberitahunya untuk lebih berhati-hati kerana dia adalah seorang jurulatih dan perlu bertanggungjawab.

“Saya menggariskan kepadanya apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak, dan sentiasa mengingatkannya.”

“Zhuliang turut menafikan dakwaan yang Qiang, atlet China yang pernah dibimbingnya sekitar era 90-an, adalah anak emasnya.

“Huang Qiang bukan pilihan utama saya dalam pasukan. Iya, saya pernah melatihnya sejak dia berusia 13 tahun tetapi anda perlu ingat, yang saya juga pernah melatih Bryan Nickson Lomas, Cheong Jun Hoong dan beberapa penerjun lain ketika mereka berada dalam lingkungan usia yang sama.

“Dia seorang yang gila-gila dan kadang kala sama seperti anak-anak lain. Bryan sendiri pun mengatakan yang dia nakal,” katanya.

Qiang didakwa atas kesalahan merogol penerjun berusia 20 tahun Oktober lalu. Sumber rapat dengan skuad terjun negara mendakwa, Zhuliang sering berusaha melindungi kesalahan Qiang sebelum ini.

Kontrak Zhuliang yang akan berakhir hujung bulan ini tidak akan diperbaharui dan dia dijangka akan kembali ke China dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 6:32 PM