HUANG (tengah) terlepas an dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol, semalam. FOTO/FAIL
HUANG (tengah) terlepas an dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol, semalam. FOTO/FAIL
Jumiati Rosly


MAJLIS Sukan Negara (MSN) tidak berhasrat menyambung kontrak bekas jurulatih skuad terjun negara, Huang Qiang yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol, semalam.

“Kontrak Huang sudah berakhir awal tahun lagi dan buat masa ini kita tidak berhasrat menyambung kontrak beliau,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Kes Huang mendapat tumpuan selepas jurulatih yang berasal dari China itu didakwa merogol seorang penerjun negara berumur 20 tahun di Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil pada 5.30 petang, 26 September tahun lalu.

Dakwaan terhadap Huang dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Namun Mahkamah Sesyen semalam mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan selepas prosiding perbicaraan yang bermula sejak 19 Januari lalu.

Huang, 36, sebelum ini dilantik menjadi penolong jurulatih bekas ketua jurulatih, Yang Zhuliang pada tahun 2007 dan pernah menghadiahkan pingat acara 3m papan anjal seirama pada Grand Prix Montreal 2012 serta gangsa di Piala Dunia London 2012 selepas mendapat kerakyatan pada tahun itu.

Dakwaan yang dikenakan terhadap Huang itu dikatakan antara punca khidmat Zhuliang tidak disambung biarpun sebelum ini beliau berjaya mencipta pelbagai kejayaan bersama skuad terjun negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 6:56 PM