YANG Zhuliang.
YANG Zhuliang.
Aida Adilah Mat


BEKAS ketua jurulatih terjun negara Yang Zhuliang muncul kembali, namun kali ini bukan sebagai jurulatih tetapi menuntut haknya daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Jurulatih dari China itu dalam akaun Facebook mendakwa masih belum mendapat ganjaran menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) seperti yang dijanjikan.

Dalam entri berkenaan, Zhuliang yang pernah menjadi jurulatih terjun negara sejak 2001, menyatakan beliau masih lagi menanti ganjaran hasil kejayaan membawa pulang emas pada Kejohanan Terjun Dunia di Budapest tahun lalu, menerusi Cheong Jun Hoong selain gangsa dalam acara terjun seirama pada kejohanan sama.

“Boleh saya tanya sesuatu. Saya belum mendapat bayaran bonus kerana kejayaan pada Kejohanan Dunia. Kejohanan sudah setahun berlalu,” katanya.

Zhuliang terdorong menyuarakan haknya itu apabila bekas gimnas negara Nur Eli Ellina Azmi melakukan tindakan sama kerana berang dengan pentadbiran MSN berikutan tidak menerima elaun selepas Sukan SEA Kuala Lumpur.

Nama Zhuliang sebelum ini cukup dikenali kerana kejayaannya membentuk penerjun terbaik negara seperti Jun Hoong, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan ramai lagi.

Namun kontraknya yang berakhir 31 Disember lalu tidak disambung kerana krisis dalaman membabitkan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 10:44 PM