GUARDIOLA akui tidak berminat sertai United walaupun cuba dipujuk Ferguson. -Foto AFP
GUARDIOLA akui tidak berminat sertai United walaupun cuba dipujuk Ferguson. -Foto AFP
AFP

MANCHESTER: Pep Guardiola berkata Manchester City sentiasa menjadi pilihan utamanya apabila memutuskan untuk berpindah ke Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun pengurus legenda Alex Ferguson cuba memujuknya menyertai Manchester United.

Bekas pengurus United, Ferguson menulis dalam bukunya pada 2015 bertajuk ‘Leading’ yang meminta Guardiola menghubunginya sebelum menerima kerja baharu ketika makan malam di New York pada 2012.

Begitupun Guardiola yang ketika itu tidak memegang sebarang jawatan menolak idea dikemukakan Ferguson yang mencadangkan supaya dia membimbing United.

“Bahasa Inggeris saya tidak sempurna ketika ini tetapi ia semakin baik. Begitupun, ketika itu bahasa Inggeris saya mungkin tidak begitu baik dan mungkin saya tidak begitu memahaminya,” kata Guardiola menjelang pertembungan tetangga Manchester, awal pagi nanti.

“Saya tidak dapat mengingati dengan begitu baik, ketika kami berada di sebuah restoran yang hebat sedang menikmati makan malam, dia mencadangkan kepada saya yang saya sepatutnya ke Old Trafford.

“Saya tidak dapat mengingatinya. Saya tahu dia mengatakannya tetapi saya tidak dapat mengingatinya.

“Kami bercakap mengenai kehidupan, sudah tentu bola sepak, mengenai Liga Perdana Inggeris tetapi dia tidak pernah memberikan mesej kepada saya secara tersembunyi: ‘Mungkin, kamu tahu, United akan terbabit,’ atau sesuatu seperti itu.

“Saya tidak dapat mengingatinya. Ia hanya membabitkan dua kawan, dua rakan dalam bola sepak, bercakap mengenai begitu banyak perkara.

“Apabila dia bercakap dengan begitu pantas, sukar untuk memahaminya. Tetapi ia bagus kerana dia memilih restoran yang menakjubkan dan sudah tentu dia yang membayarnya.”

ALEX FERGUSON
ALEX FERGUSON

Ferguson melepaskan jawatannya di United pada penghujung musim 2012-13 tetapi Guardiola berkata dia ketika itu sudah pun komited untuk menyertai Bayern Munich.

Guardiola juga berkata dia ingin menyertai City dan kembali bergandingan dengan pengarah bola sepak, Txiki Begiristain yang sebelum ini bekerja bersamanya di Barcelona.

“Saya sudah pun bercakap dengan Bayern,” kata Guardiola. “Dalam minda saya, ia jelas yang saya mahu mengharungi pengalaman yang menakjubkan di Jerman.

“Bayern Munich adalah yang pertama menghubungi saya, selain Manchester City. Tetapi saya memutuskan untuk pergi ke Jerman, belajar mengenai Jerman dan mendapat pengalaman.

“Ketika itu, Manchester City mula mendekati saya dan saya memutuskan jika saya mahu pergi ke Liga Perdana Inggeris, saya akan menyertai mereka kerana saya mengenali Txiki.

“Saya bertemu Khaldoon (al Mubarak, Pengerusi City) ketika musim terakhir saya di Munich dan mereka menunjukkan minat yang lebih berbanding kelab lain untuk mendapatkan khidmat saya dan ia amat penting,” katanya yang mengakui amat kagum dengan Ferguson.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 1:31 PM