GUARDIOLA anggap kejayaannya adalah disebabkan kerjasama antara pemain dan staf. FOTO AFP
GUARDIOLA anggap kejayaannya adalah disebabkan kerjasama antara pemain dan staf. FOTO AFP
AFP

London: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola meraih anugerah jurulatih terbaik selepas ia diumumkan Persatuan Pengurus Liga England (LMA).

Guardiola memacu City untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala Liga musim ini.

Ahad ini pasukan yang dikendalikan oleh jurulatih dari Sepanyol itu akan ditabalkan sebagai juara Eropah buat kali pertama apabila berdepan seteru EPL, Chelsea di perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Porto.

Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu berada dalam senarai teratas untuk mengetepikan pesaing lain seperti jurulatih Leeds, Marcelo Bielsa, pengendali Norwich, Daniel Farke, pengurus pasukan wanita Chelsea, Emma Hayes, jurulatih West Ham, David Moyes dan pengendali Leicester, Brendan Rodgers.

"Saya sangat berbesar hati untuk memenangi anugerah pengurus terbaik LMA buat kali kedua.

"Bagi saya ia adalah trofi yang istimewa untuk dimenangi kerana ia diundi oleh jurulatih lain. Anugerah seperti ini dapat diraih jika pengurus dikelilingi mereka yang profesional di peringkat atasan.

"Pemain saya sangat luar biasa, dedikasi mereka dan semangat profesional tidak pernah pudar, walaupun musim ini kami berdepan situasi yang sangat mencabar.

"Staf saya juga berhak menerima pujian. Saya sangat bertuah mempunyai sepasukan individu yang memberikan segala-galanya setiap masa untuk memastikan Manchester City berada di tahap terbaik.

"Anugerah ini ditujukan dan dikongsi bersama mereka," katanya.

Alex Ferguson, yang sudah beberapa kali memenangi trofi berkenaan bersama Manchester United dan sekarang ini adalah ahli jawatankuasa LMA mengakui Guardiola adalah pengurus dan pemimpin berbakat.

"Beliau sentiasa menunjukkan sikap rendah hati dan ketenangan luar biasa. Saya yakin keluarganya berbangga dengannya," kata Ferguson.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 9:20 AM