Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Selepas membenam Timor Leste, skuad bawah 19 tahun (B-19) negara semakin garang mahu menjadikan Brunei sebagai mangsa seterusnya bagi aksi kedua Kumpulan F kempen kelayakan Kejuaraan AFC B-19 2018, di Paju, Korea Selatan, Sabtu ini.

Pengendali pasukan negara Bojan Hodak (gambar) berkata, berdasarkan penilaiannya ketika menyaksikan skuad ‘The Wasps’ dibelasah Korea Selatan hari ini, tiada sebab untuk melihat anak buahnya gagal meraih kemenangan besar ke atas mereka.

“Persembahan kami menentang Timor Leste baik, (tapi) saya percaya kami boleh meningkatkannya kerana ia perlu lebih realistik.

“Kadang-kadang anda bermain untuk keputusan, bukan untuk persembahan semata-mata. Saya percaya kami boleh membuat langkah besar dan boleh menang kerana hanya kemenangan yang ada dalam fikiran kami.

“Dengan kualiti yang kami miliki sekarang, saya percaya boleh menang perlawanan dengan Brunei. Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah kerana tiada perlawanan yang mudah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hodak, 46, yang berasal dari Zagreb, Croatia menegaskan moral pemainnya kini di tahap terbaik dengan semua pemain utama bebas daripada kecederaan dan boleh diturunkan.

Tiga lagi mata akan mencerahkan misi Malaysia untuk merebut dua tempat terbaik selepas mudah menewaskan Timor Leste 3-1 pada aksi pertama Selasa lalu, sebelum melakukan perhitungan penting berdepan Indonesia dan Korea Selatan dalam aksi berikutnya.

“Kami menghormati mereka (Brunei) sebagai satu pasukan, bukannya pemain secara individu. Berdasarkan apa yang saya lihat semasa berdepan tuan rumah, Brunei cukup laju dalam melakukan serangan balas.

“Cuma mereka dikecewakan dengan sentuhan penyudah tumpul, namun saya tetap mahu pemain berhati-hati (serangan balas) sambil memburu seberapa banyak gol kerana ia akan membawa keuntungan kepada pasukan sekiranya terikat mata dengan pasukan lain.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 5:06 PM