Mohamad Zulfaizan Mansor


JURULATIH skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Bojan Hodak (gambar) menuntut anak buahnya lebih berwaspada apabila berdepan Timor Leste pada aksi pertama kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Paju, Korea Selatan, esok.

Jurulatih kelahiran Croatia itu menegaskan pasukannya tidak boleh terlalu yakin walaupun pernah menumpaskan Timor Leste 3-0, pada kejohanan Kejuaraan B-18 AFF 2017 di Yangon, Myanmar, bulan lalu.

“Timor Leste pasukan yang bagus. Tahun lalu, skuad B-19 mereka menewaskan Malaysia dan tahun ini kami pula tundukkan mereka dalam kejohanan Kejuaraan B-18 AFF.

“Kali ini, mereka melakukan perubahan dalam pasukan termasuk menukar jurulatih dan menyenaraikan beberapa pemain baharu selepas kejohanan AFF.

“Mereka juga sudah berada di Korea Selatan sejak 10 hari lalu dan menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini. Saya harap pemain kita dapat beraksi dengan baik esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain Timor Leste, anak didik Hodak yang berada dalam Kumpulan F akan berdepan Brunei pada 4 November, disusuli Indonesia (6 November) dan tuan rumah, Korea Selatan (8 November).

Mengikut format kelayakan, semua 10 pasukan juara Kumpulan A hingga J dan lima naib juara terbaik kumpulan akan layak automatik ke pusingan akhir di Indonesia pada Oktober tahun depan.

Selain itu, Hodak berharap barisan pemainnya mampu menyesuaikan diri apabila terpaksa beraksi dalam cuaca sejuk di Paju.

“Kami melakukan persiapan terbaik untuk kejohanan ini dan masalah utama sekarang adalah cuaca sejuk di sini (Paju). Hari ini cuaca mencecah 10 darjah celsius.

“Pemain saya bergelut dengan masalah itu semalam, tapi mereka tampak lebih baik hari ini. Kami harap cuaca esok lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 9:20 PM