Mohd Khairie Khalid


Kuala Lumpur: Seramai 14 daripada skuad 23 pemain yang muncul naib juara Kejuaraan B-18 AFF 2017 di Yangon, Myanmar, bulan lalu dipanggil menyertai kem latihan pusat dan pemilihan Fasa 1 di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula esok.

Selain itu, 10 muka baru dipilih ketua jurulatih B-19 kebangsaan, Bojan Hodak (gambar) sebagai persediaan pasukan menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Paju, Korea Selatan yang bakal bermula pada 31 Oktober hingga 8 November ini.

“Hanya 14 daripada skuad 23 pemain yang muncul naib juara Kejuaraan B-18 AFF dipanggil untuk latihan pemilihan Fasa 1 ini manakala selebihnya adalah 10 pemain baru.

“Mereka terdiri daripada Luqman Abdullah dari Kuala Lumpur, T Shaheeswaran dan Adam Addruse Azmi (JDT III), Ridhwan Nazri dan Syahmi Zamri (SSTMI).

“Selain itu, K Thivandaran (Pulau Pinang), Adib Abdul Ra’op dan Azarulhisham Anuar (Perak), Al Imran Abdul Halim (UiTM) dan Haziq Rahimi Iskandar (Sarawak),” kata satu kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Sementara itu, beberapa pemain dari skuad naib juara Kejuaraan B-18 AFF 2017 tidak dipanggil untuk menyertai latihan pemilihan Fasa 1 kerana masih terbabit dalam saingan separuh akhir Piala FAM, Piala Presiden dan Piala Belia 2017.

Skuad B-19 dijadual berlepas ke Korea Selatan pada 28 Oktober ini bagi menghadapi empat perlawanan kelayakan bagi Kumpulan F berdepan Timor-Leste pada 31 Oktober, Brunei (4 November), Indonesia (6 November) dan tuan rumah, Korea Selatan pada 8 November.

Mengikut format kelayakan, semua 10 pasukan juara kumpulan (A-J) layak secara automatik ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Indonesia pada Oktober 2018 bersama lima pasukan terbaik dari kalangan 10 pasukan naib juara kumpulan. (6 pasukan terbaik jika Indonesia muncul juara atau di kalangan lima pasukan terbaik naib juara kumpulan).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 10:41 AM