HM Digital

Kuala Lumpur: Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Negara, Cheah Soon Kit (gambar) tidak menunggu lama untuk mencari pengganti Jeremy Gan dan mengaku sudah ada bayangan siapa yang berhak mengisi kekosongan itu seterusnya meneruskan perancangan yang ditetapkan pihak pengurusan.

Menurut bekas pemain beregu lelaki negara itu, beliau memang terkejut dengan keputusan Jeremy meletak jawatan dengan memberi notis tiga bulan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Sabtu lalu.

“Memang beliau ada memberitahu untuk meletak jawatan atas alasan peribadi dan sekarang ini kita sedang mencari pengganti agar rancangan kita sebelum ini terus berjalan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, melalui perbincangan dengan Jeremy sebelum ini, jurulatih yang terkenal dengan kejayaan membawa pasangan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong meraih perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, ada memberitahu mahu meletak jawatan kerana ingin mencari pengalaman baru.

“Sudah tentu saya lebih berminat untuk mencari jurulatih tempatan dan mereka adalah bekas pemain negara. Bagaimanapun, kita akan berbincang dengan pihak atasan untuk mencari pengganti yang bagus.

“Bayangan itu sudah ada, kerana kita perlu cepat dan tidak boleh berlengah lagi. Tidak kisah siapa saja ia terbuka. Kita tidak menunggu sehingga Jeremy meninggalkan kita, kena buat perkara ini kerana masa semakin suntuk,” kata Soon Kit.

Antara calon yang mungkin berada dalam pemikiran dan pemantauan Soon Kit, Yap Kim Hock, Datuk Seri Jalani Sidek, Lee Wan Wah, Zakry Latif, Chan Chong Ming dan Chew Choon Eng.

Selain Soon Kit, skuad beregu lelaki negara turut dilatih Rosman Razak, manakala isu sebelum ini juga menyaksikan gandingan beregu lelaki utama, V Shem-Wee Kiong turut dipisahkan akibat penurunan prestasi.

V Shem bergandingan bersama Teo Ee Yi manakala Wee Kiong pula berpasangan dengan Ong Yew Sin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 8:01 AM