KIM Hock (kiri) kecewa dengan prestasi beregu lelaki remaja yang sudah enam edisi gagal ke separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
KIM Hock (kiri) kecewa dengan prestasi beregu lelaki remaja yang sudah enam edisi gagal ke separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia. -Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
Ferzalfie Fauzi


BEKAS pemain beregu lelaki negara, Yap Kim Hock mengakui Malaysia masih lagi memerlukan satu gandingan yang kuat seperti Goh V Shem-Tan Wee Kiong, namun tidak ada apa yang boleh dilakukan sekarang apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah memecahkan pasangan berkenaan.

Menurut pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu, buat masa sekarang apa yang boleh dilakukan oleh peminat badminton ialah menunggu keputusan positif daripada gandingan baharu Goh V Shem-Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin-Tan Wee Kiong yang sedang beraksi di Terbuka Perancis.

“Sekarang kita boleh tahu adakah gandingan V Shem-Wee Kiong lebih kuat berbanding gandingan baharu yang dibentuk. Sebenarnya jika hendak menukar pasangan ia boleh dilakukan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan pertunjukan bersama bekas pemain perseorangan lelaki, Rashid Sidek dan dua pelumba MotoGP, Marc Marquez (Repsol Honda) dan Jorge Lorenzo (Ducati) di Velodrom Nasional hari ini.

Menurutnya, BAM perlu membentuk semula gandingan beregu lelaki yang lebih kuat dan pada masa sama melahirkan pemain muda berbakat.

Dalam pada itu, Kim Hock juga menyatakan kebimbangan mengenai prestasi beregu lelaki remaja apabila sudah enam edisi tidak berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Remaja Dunia.

“Mereka harus mempunyai perancangan baharu dengan memasukkan pemain muda dari kelab atau negeri. Bila sudah ada pemain yang bagus barulah boleh fokus. Sekarang kita seperti ketinggalan jauh. Sudah beberapa edisi Kejohanan Remaja Dunia tapi tidak ada apa-apa keputusan positif,” katanya.

Bagaimanapun, Kim Hock tidak sangsi dengan kebolehan bekas rakan segandingannya, Cheah Soon Kit yang sekarang ini memegang jawatan ketua jurulatih beregu lelaki di BAM.

“Dia lebih berpengalaman dan mempunyai perancangan tersendiri,” kata Kim Hock yang sebelum ini dicanang akan kembali ke pangkuan BAM menggantikan Jeremy Gan, namun yang menjadi pilihan badan induk berkenaan ialah Vontous Indra Mawan Saniru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 9:19 PM