YEW Sin-Wee Kiong tewas kepada Marcus-Kevin 14-21, 17-21 dalam perlawanan yang berlangsung 32 minit.
YEW Sin-Wee Kiong tewas kepada Marcus-Kevin 14-21, 17-21 dalam perlawanan yang berlangsung 32 minit.
Helmi Talkah

TIADA nada kecewa disuarakan ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit biarpun anak buahnya, Tan Wee Kiong-Ong Yew Sin tewas di suku akhir Terbuka Hong Kong, hari ini.

Wee Kiong-Yew Sin ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 14-21, 17-21 dalam perlawanan yang berlangsung 32 minit.

Menurut Soon Kit, biarpun tewas namun beliau mendapat gambaran jelas mengenai tahap kemampuan sebenar pasangan yang baharu digandingkan itu dan akan bekerja keras bagi membantu memperbaiki kelemahan mereka.

“Mereka tewas kepada beregu yang lebih baik. Ia sesuatu yang positif apabila dapat mengetahui tahap kemampuan sebenar mereka menentang beregu utama dunia.

“Daripada situ, kita tahu apa yang perlu diperbaiki dan mereka pastinya akan bekerja keras untuk meningkatkan lagi prestasi,” kata Soon Kit ketika dihubungi di Hong Kong, hari ini.

Soon Kit ketika ini dalam proses penilaian terhadap gandingan Wee Kiong-Yew Sin selain Goh V Shem-Teo Ee Yi selepas mereka hanya mula bergandingan sejak hujung September lalu.

Kombinasi baharu yang dibentuk itu susulan daripada keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang memisahkan pasangan V Shem-Wee Kiong susulan kemerosotan prestasi dialami mereka sejak memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 8:02 PM