JEREMY (tengah) yakin V Shem-Wee Kiong mampu bentuk gandingan mantap semula.
JEREMY (tengah) yakin V Shem-Wee Kiong mampu bentuk gandingan mantap semula.
Helmi Talkah


BEKAS jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan yakin Goh V Shem-Tan Wee Kiong mampu mengulangi detik gemilang mereka selepas kembali digandingkan.

Bagaimanapun, Jeremy yang meletak jawatan, Oktober lalu, berkata kejayaan hanya boleh dicapai jika kedua-dua pemain berkenaan berkongsi matlamat yang sama demi masa depan kerjaya mereka.

“Pertama sekali, mereka perlu tahu apa yang mereka mahukan dan apa yang mereka mahu capai.

“Mereka perlu berkongsi matlamat yang sama untuk berjaya, jika tidak, ia pasti sukar. Justeru, mereka perlu ada komunikasi yang baik antara satu sama lain.

“Perselisihan faham perkara biasa sebagai pemain beregu, namun tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Jika kongsi matlamat sama, mereka pasti boleh ketepikan hal-hal lain,” kata Jeremy yang akan memulakan tugas sebagai jurulatih beregu campuran Jepun, awal bulan depan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kembali menggandingkan V Shem-Wee Kiong berikutan peraturan baharu kejohanan yang ditetapkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selain bagi memperkuatkan cabaran Malaysia menghadapi kempen Piala Thomas di Bangkok, Thailand, Mei tahun depan.

Tahun lalu, V Shem-Wee Kiong mencetuskan impak besar di bawah bimbingan Jeremy apabila memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 selain muncul juara Terbuka Denmark dan Siri Super Akhir di Dubai.

Namun, mereka dipisahkan September lalu susulan kemerosotan prestasi dan tiada lagi persefahaman antara mereka yang menyaksikan masing-masing digandingkan dengan Teo Ee Yi serta Ong Yew Sin.

Menurut Jeremy, keputusan BAM menggandingkan semula V Shem-Wee Kiong tepat kerana percaya mereka mempunyai potensi yang besar untuk melakar lebih banyak kejayaan.

“Saya faham keputusan BAM berdasarkan situasi terkini. Lagipun, tiada salahnya mereka digandingkan semula kerana saya tahu mereka boleh pergi lebih jauh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 8:06 PM