(DARI kiri) Annuar, Muhammad Nasir, Rosmadi, Shaari dan Bibi Ramjani. FOTO arkib NSTP
(DARI kiri) Annuar, Muhammad Nasir, Rosmadi, Shaari dan Bibi Ramjani. FOTO arkib NSTP
Mohamad Zulhairie Manzaidi


TAN Sri Annuar Musa dicalonkan semula sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan bakal berentap dengan empat lagi individu pada Kongres Tahunan Ke-43 persatuan itu, Ahad depan.

Annuar pernah memegang jawatan tertinggi itu selama dua penggal iaitu pada 2007 hingga 2016, sebelum melepaskannya pada 8 November tahun lalu.

Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor berkata, Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) menamakan lima calon untuk kerusi Presiden sehingga tarikh tutup pencalonan, 5 petang semalam.

"Selain Annuar, dua Naib Presiden KAFA, Datuk Mohamad Nasir Hamzah dan Datuk Rosmadi Ismail turut dicalonkan untuk bertanding Presiden.

"Manakala, penaja utama pasukan Kelantan musim ini, Datuk Ir Shaari Hassan (Chengal Jati Sdn Bhd) dan pengasas Desa Murni Batik, Bibi Ramjani Ilias Khan turut dicalonkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jawatan Timbalan Presiden KAFA menyaksikan Datuk Seri Afandi Hamzah dicalonkan untuk mempertahankan kerusi itu serta bakal dicabar Mohamad Nasir, Rosmadi dan Shaari.

"Untuk calon bertanding dua jawatan, mereka hanya akan dipilih untuk mengisi satu kerusi sahaja. KAFA juga menerima 13 pencalonan untuk mengisi jawatan Naib Presiden.

"Bagi kerusi ini, terdapat pencalonan daripada bekas pemain bola sepak, tokoh korporat dan ahli politik," katanya.

Ismail berkata, untuk barisan Jawatankuasa Eksekutif KAFA, PBJ mencalonkan 30 calon yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Katanya, calon yang sudah dinamakan perlu hadir dan mengesahkan pencalonan pada Khamis sebelum 5 petang dan pencalonan akan ditolak sekiranya gagal hadir.

"Untuk yang mahu menarik diri juga boleh berbuat demikian sebelum 14 September. Nasib calon akan ditentukan 52 perwakilan mewakili 10 PBJ di Kelantan selain ahli gabungan KAFA (Persatuan Bolasepak Melayu dan Persatuan Bolasepak Cina)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 4:34 PM