Bibi Ramjani juga mempunyai misi isi kantung KAFA. FOTO SYAMSI SUHAIMI
Bibi Ramjani juga mempunyai misi isi kantung KAFA. FOTO SYAMSI SUHAIMI
Mohamad Zulhairie Manzaidi


CALON tunggal wanita merebut jawatan Presiden Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, 47, berazam untuk membangunkan bolasepak negeri bermula di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, pembangunan bolasepak akan dimulakan dengan menyalurkan peruntukan kepada Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) untuk pencarian bakat baru dan amalan bersesuaian.

"Mereka (PBJ) adalah penggerak kepada bolasepak di negeri ini dan bertanggungjawab menyediakan bakat baru agar dapat diserap ke skuad utama.

"Apabila adanya peruntukan, maka lebih ramai pemain berbakat dapat dilahirkan dan sekali gus dapat meningkatkan prestasi pasukan Kelantan," katanya di sini, hari ini.

Bibi Ramjani juga nekad meneruskan kesinambungan KAFA dalam melahirkan ramai bakat muda selain misi utama mencari dana untuk mengisi kantung KAFA yang semakin kering.

"Saya sentiasa mengikuti perkembangan skuad The President Warriors (TPW) serta The Young Warriors (TYW) dan ternyata mereka berada dalam prestasi terbaik.

"Ramai pemain muda yang berbakat dalam skuad TPW dan TYW tetapi mereka perlu dikembangkan lagi dengan beberapa usaha baru. Ini semua yang saya berhajat aturkan sekiranya terpilih menjadi Presiden nanti," katanya yang juga mengasaskan Desa Murni Batik Sdn Bhd.

Enggan menaruh harapan tinggi, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan PBJ untuk membuat keputusan dan mengundi individu layak.

"Saya harap mereka dapat buat pilihan bijak agar kepimpinan KAFA 2018-2021 dipimpin oleh tenaga baru yang lebih bernas ideanya," katanya.

Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor, kelmarin mengumumkan lima calon merebut kerusi Presiden KAFA termasuk Bibi Ramjani yang akan berentap dengan empat lagi individu pada Kongres Tahunan Ke-43 persatuan itu, Ahad depan.

Individu lain adalah Naib Presiden KAFA, Datuk Mohamad Nasir Hamzah dan Datuk Rosmadi Ismail serta Datuk Ir Shaari Hassan (Chengal Jati Sdn Bhd) selain, mantan Presiden Tan Sri Annuar Musa yang dicalonkan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 5:53 PM