STACY (kiri) meraikan kemenangan bersama dengan Lexi.
STACY (kiri) meraikan kemenangan bersama dengan Lexi.
AFP

LOS ANGELES: Amerika Syarikat menyapu bersih semua empat perlawanan fourball untuk mendahului tiga mata ke atas Eropah pada hari pertama kejohanan golf berpasukan wanita Piala Solheim, sebentar tadi.

Kebangkitan AS pada sebelah petang di Des Moines Golf and Country Club di Iowa menandakan kali pertama dalam sejarah pertandingan berdasarkan Piala Ryder itu AS menyapu bersih satu sesi - sesuatu yang sudah dilakukan Eropah sebanyak tiga kali.

Eropah mendahului tipis 2 1/2-1 1/2 sebaik berakhir perlawanan foursomes pada sebelah pagi namun Amerika mendahului menjelang perlawanan esok 5 1/2-2 1/2.

Ia satu persembahan dominan. Eropah tidak langsung mendahului dalam mana-mana perlawanan fourball.

Stacy Lewis dan Gerina Piller menamatkannya dengan kemenangan 2 & 1 ke atas Charley Hull dan Georgia Hall – kedua-duanya dari England – perlawanan paling sengit pada sesi petang.

Pemain Scotland, Catriona Matthew, yang terpaksa beraksi apabila pemain Norway, Suzann Pettersen menarik diri daripada pasukan Eropah Rabu lalu kerana kecederaan belakang, berganding dengan pemain Perancis, Karine Icher untuk mencatat kemenangan foursomes 1 up ke atas Stacy dan Gerina.

“Saya berasa amat gemuruh pada permulaan tapi saya seronok dengan kejohanan ini,” kata Catriona, 47, yang kini sudah mengumpul 20 mata dalam Piala Solheim.

“Tidak kira berapa kali anda beraksi dalam pertandingan ini, anda akan berasa gementar tapi saya berjaya menanganinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 10:44 AM