PEMAIN golf Amerika Brittany Lincicome (kanan) bersama Brittany Lang selepas menamatkan pukulan.
PEMAIN golf Amerika Brittany Lincicome (kanan) bersama Brittany Lang selepas menamatkan pukulan.
AFP

AMERIKA Syarikat mendahului lima mata menjelang aksi perlawanan perseorangan Piala Solheim selepas satu lagi permainan dominan fourball pada pertembungan match play menentang Eropah, sebentar tadi.

AS menang tiga daripada empat perlawanan fourball - dan lima daripada lapan mata yang ditawarkan - untuk mengukuhkan pendahuluan kepada 10 1/2 berbanding 5 1/2 menjelang 12 perlawanan perseorangan, esok.

Selepas tewas dalam semua empat perlawanan fourball semalam, Eropah tidak dapat bangkit dalam empat perlawanan foursomes pada sebelah pagi di Des Moines Golf and Country Club di Iowa.

Amerika, cuba mempertahankan kejuaraan dimenangi mereka di Jerman pada 2015, kemudiannya menang tiga perlawanan pada sebelah petang untuk mengukuhkan cengkaman.

Pemain veteran Cristie Kerr melakar rekod Piala Solheim buat AS dengan mata karier ke-19 apabila dia berganding dengan Lexi Thompson menang 5 & 3 permainan foursomes ke atas pemain England, Jodi Ewart Shadoff dan Caroline Masson dari Jerman.

Kapten AS, Juli Inkster memegang rekod terdahulu dengan 18 1/2 mata.

Cristie menamatkan saingan dengan 20 mata karier apabila dia dan Lexi berganding sekali lagi menewaskan Catriona Matthew (Scotland) dan Georgia Hall (England) 4 & 2 dalam permainan fourball.

“Dia bertindak luar biasa di luar sana,” kata Lexi mengenai Cristie selepas perlawanan itu berakhir di lubang ke-16.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 11:15 AM