SUZANN terpaksa lupakan aksi Piala Solheim selepas alami kecederaan belakang.
SUZANN terpaksa lupakan aksi Piala Solheim selepas alami kecederaan belakang.
AFP

PEMAIN Norway, Suzann Pettersen menarik diri daripada skuad Eropah ke Piala Solheim semalam kerana kecederaan belakang, membolehkan pemain Britain, Catriona Matthew berada dalam senarai bagi perlawanan menentang Amerika Syarikat di Chicago bermula esok.

Kapten Eropah, Annika Sorenstam mengumumkan perubahan bagi pertembungan dwitahunan menentang skuad wanita AS, yang akan diadakan di Des Moines Golf and Country Club di Iowa. Catriona seorang daripada penolong kapten Annika.

“Saya tiba di Des Moines pada petang Isnin lalu selepas mendapat rawatan kerana kecederaan belakang yang berlaku di Norway hujung minggu lalu,” kata Suzann dalam satu kenyataan di laman Instagram.

“Sekalipun menerima rawatan lanjut di lapangan golf, saya menarik diri pada pagi Rabu kerana mengalami kesakitan yang berterusan.

“Saya menganggap ini satu keputusan sukar dalam membantu pasukan Eropah dan memberikan peluang kejayaan kepada rakan sepasukan saya. Tiada jaminan saya boleh cergas untuk bertanding pada pagi Jumaat dan saya tidak mahu bermain kecuali saya 100 peratus cergas.”

Suzann berkata, dia akan kekal untuk menyokong pasukan, yang ketinggalan 5-9 secara keseluruhan berbanding pemegang trofi AS, yang merampas semula piala itu menerusi kemenangan 14 1/2-13 1/2 pada 2015 di Jerman.

“Sayang sekali Suzann terpaksa menarik diri kerana kecederaan belakang,” kata Annika. “Piala Solheim satu daripada kejohanan penting dalam kariernya. Ia satu keputusan sukar tapi saya bangga dengannya dan dia tetap menjadi pemimpin minggu ini.”

Annika memilih Catriona dari Scotland, juara Terbuka Wanita British 2009, sebagai calon gantian pertama apabila beliau memilih pasukannya selepas kejohanan Terbuka Wanita British tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 11:38 AM