Pemain negara, Norbaini Hashim (kanan) diasak pemain Wizards Women ketika perlawanan persahabatan di Stadium Hoki Bukit Jalil, hari ini. - Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Pemain negara, Norbaini Hashim (kanan) diasak pemain Wizards Women ketika perlawanan persahabatan di Stadium Hoki Bukit Jalil, hari ini. - Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Saiful Affendy Sapran


SKUAD hoki wanita negara sudah bersedia untuk misi mempertahankan pingat emas apabila meraih kemenangan meyakinkan 5-2 ke atas pasukan Wizards Australia pada perlawanan persahabatan hari ini.

Pengurus pasukan Lailin Abu Hasan berkata, kemenangan itu menunjukkan skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah kini berada di kemuncak prestasi, sama seperti saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium, bulan lalu.

“Ini minggu terakhir persiapan skuad negara. Saya lihat pemain semakin agresif.

“Mereka sudah melalui banyak perlawanan persahabatan dan sudah nampak persefahaman antara setiap pemain,” katanya.

Namun di sebalik komen positif, bekas pemain kebangsaan itu tetap menuntut barisan pemain negara memperbaiki segera beberapa kelemahan.

“Saya lihat barisan pertahanan sudah beraksi dengan baik, cuma kelemahan nampak di bahagian serangan.

“Saya tidak mahu mereka mensia-siakan peluang menjaringkan gol apabila bermulanya saingan sebenar nanti,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium Hoki Bukit Jalil itu, skuad negara di depan dengan tiga gol menerusi jaringan padang Norbaini Hashim (m-15), pukulan sudut penalti Siti Noor Amarina Ruhani (m-18) dan gol padang Nor Azlin Sumantri (m-29).

Spohie Turner merapatkan jurang hasil gol padang minit ke-29 sebelum Hanis Nadiah Onn dan Fatin Shafika Md Shukri menambah dua gol masing-masing minit ke-33 dan 45 menerusi jaringan padang.

Fiona Cock menambah go kedua Wizards Australia minit ke-45.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 9:15 PM