Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kegagalan membuat keputusan cepat mencetuskan resah pengendali skuad Projek 2016 negara Arul Selvaraj ketika saingan Piala Sultan Johor hanya berbaki lima hari.

Mengakui kelemahan itu faktor utama yang perlu diperbaiki, Arul menuntut barisan pemain negara agar tidak mengulangi kesilapan itu lagi yang menjadi punca mereka tewas 1-3 kepada skuad senior negara pada aksi pemanas badan semalam.

“Saya tidak terlalu memikirkan mengenai keputusan perlawanan tapi saya kecewa cara setiap pemain membuat keputusan.

“Soal lain seperti semangat untuk melawan serta tahap disiplin setiap pemain tiada masalah.

“Cuma saya mahu mereka cepat berfikir dalam membuat keputusan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

Arul juga mengakui, barisan penyerangnya agak tumpul pada perlawanan persahabatan semalam.

“Memang saya akui perkara itu. Sepanjang 16 minit separuh masa pertama, barisan pemain gagal untuk memasuki kawasan D.

“Hanya pada sembilan minit terakhir, barulah ada satu peluang dan pemain memanfaatkan peluang itu untuk menjaringkan gol.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana kami mempunyai barisan penyerang yang bagus,” katanya.

Begitupun, Arul menegaskan, pasukannya sudah bersedia untuk beraksi pada edisi kelima kejohanan itu yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya bermula Sabtu ini sehingga 18 Oktober.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam, Shahril Saabah menjaringkan gol tunggal skuad Projek 2016.

Bagaimanapun, penyerang skuad senior Ramadan Rosli (dua gol) dan Dangerous Lee menjadikan kedudukan muktamad 3-1.

Kedua-dua pasukan akan turun sekali lagi pada perlawanan pemanas badan kedua hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 7:12 AM