FAZILLA (dua dari kiri) lakar hatrik ketika benam Singapura.
FAZILLA (dua dari kiri) lakar hatrik ketika benam Singapura.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita negara terus mencuri tumpuan di New Delhi, India apabila menang besar 5-0 ke atas Singapura bagi kemenangan ketiga berturut-turut pada saingan Kumpulan B saingan Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL), semalam.

Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim muncul juara kumpulan dan bakal bertemu pasukan tercorot Kumpulan A di suku akhir, esok.

Pada perlawanan di Stadium Nasional Major Dhyan Chand semalam, Fazilla Sylvester Silin melakar hatrik pada minit ke-24, 32 dan 45 manakala Rabiatul Adawiyah Mohamed serta Nurul Nabiha Mansur masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-26 dan 32.

Meskipun gembira dengan kemenangan itu, Nasihin berasa anak buahnya mampu mempamerkan aksi lebih baik.

“Kami terlepas beberapa peluang menjaringkan gol pada suku pertama.

“Saya mengarahkan pemain pertahanan naik membantu dan selepas itu barulah kami berjaya menjaringkan gol.

“Secara keseluruhan, saya puas hati dengan keputusan ini, tapi masih ada beberapa kelemahan perlu diperbaiki,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sementara itu, skuad hoki lelaki negara yang kini menjalani latihan intensif di Australia, tewas 0-6 pada perlawanan persahabatan pertama dengan skuad kebangsaan tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 7:27 AM