Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Ketiadaan beberapa pemain utama nyata memberi impak besar kepada skuad hoki negara apabila tewas 1-5 kepada Jepun pada aksi persahabatan pertama di Stadium Gifu di Kakamihara semalam.

Menurut ketua jurulatih skuad negara, Stephen Van Huizen, beliau cuba membariskan banyak muka baru selepas kehilangan sebilangan besar pemain utama.

Antara yang tidak berada dalam skuad di Jepun ialah Razie Rahim, Nabil Fiqri Mohd Noor, Fitri Saari, Faiz Helmi Jali, Shahril Saabah serta S Kumar.

“Kami hadir di sini tanpa beberapa pemain utama yang menjadi tonggak pasukan. Saya juga banyak mencuba dengan meletakkan pemain bermain di luar posisi asal mereka untuk melihat beberapa pilihan yang ada.

“Yang pasti, prestasi mereka lebih cemerlang di separuh masa kedua, tapi masih belum mencapai tahap sebenar.

“Kami akan menganalisis segala kelemahan dan kesilapan dalam usaha untuk meraih keputusan lebih baik pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Gol tunggal skuad negara semalam dijaringkan Norhizzat Sumantri pada minit ke-55 menerusi jaringan padang.

Skuad negara akan turun pada perlawanan persahabatan kedua menentang Jepun, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 9:40 AM