EE Yi (kiri) dan Yew Sin mahu benam beregu China.
EE Yi (kiri) dan Yew Sin mahu benam beregu China.

Kuala Lumpur: Gandingan Ong Yew Sin-Teo Eei Yi mempamer aksi cukup meyakinkan apabila mara ke suku akhir Terbuka Australia dengan bergaya selepas hanya memerlukan 16 minit untuk mengetepikan cabaran beregu Indonesia Saputra Alvindo-Ferdinand Sinarta Surbakti di pusingan kedua semalam.

Yew Sin-Ee Yi mencatat kemenangan straight set 21-9, 21-7, sekali gus bakal berdepan Zhang Nan-Liu Cheng dari China pada aksi suku akhir hari ini.

“Pada saingan awal ini lawan yang kami temui tidak berapa kuat sangat.

“Tapi, esok (hari ini) adalah cabaran sebenar apabila bertemu Zhang Nan-Liu Cheng.

“Kami tewas kepada mereka pada Terbuka Indonesia minggu lalu, jadi perlu melakukan persiapan rapi apabila bertemu mereka sekali lagi,” katanya.

Gandingan Eei Yi, Yew Sin berkata, aksi konsisten yang dipamerkan mereka menjadi kunci utama kemenangan mudah semalam.

“Esok (hari ini) pasti perlawanan yang sukar. Kami baru saja tewas kepada mereka (Zhang Nan-Liu Cheng).

“Harap kami dapat membalas dendam pada perlawanan suku akhir nanti,” katanya.

Beregu campuran Chan Peng Soon-Cheah Yee See turut mara ke suku akhir selepas menewaskan Hendra Tandjaya-Sekartaji Putri 21-10, 21-5.

Sementara itu, beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal meneruskan kecemerlangan selepas menewaskan pemenang emas Sukan Olimpik Rio Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir kelmarin apabila tersungkur di pusingan kedua, semalam.

Mereka tewas kepada gandingan Yugo Kobayashi-Misaki Matsutomo 16-21, 21-23 dalam tempoh 39 minit.

Turut gagal meneruskan kemaraan pemain perseorangan profesional negara Zulfadli Zulkiffli yang tewas kepada pemain Korea Selatan Lee Hyun II 20-22, 15-21 di pusingan kedua, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 4:26 AM