LIU Ying (kanan) dan Peng Soon diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan.
LIU Ying (kanan) dan Peng Soon diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Terlalu sukar. Itulah pendapat pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying selepas melihat laluan akan ditempuhi pada Siri Super Perdana Terbuka China minggu ini.

Menurut Liu Ying, undian pada kejohanan itu memang tidak memihak kepadanya dan Chan Peng Soon walaupun mendapat bye pada pusingan pertama kerana dijangka perlu berdepan pemain tuan rumah di setiap peringkat.

“Memang terlalu sukar. Kami akan bertemu dengan semua beregu dari China,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Mereka yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan dijangka berdepan dengan pasangan tuan rumah, Zhang Nan-Li Yunhui pada pusingan ketiga.

Jika mara ke suku akhir, halangan seterusnya mungkin pilihan kelima Zheng Siwei-Chen Qingchen dan menanti mereka di separuh akhir satu lagi pasangan tuan rumah, Liu Cheng-Huang Dongping.

Ia jangkaan awal yang diramal Liu Ying untuk menggambarkan mereka perlu melepasi halangan Tembok Besar jika bercita-cita untuk mara ke final Terbuka China seterusnya melupakan episod malang pada Terbuka Denmark bulan lalu.

Mereka terpaksa menarik diri pada pusingan pertama Terbuka Denmark apabila Peng Soon mengalami kecederaan buku lali, selepas cemerlang di Jepun serta Korea Selatan apabila berjaya mara ke separuh akhir.

Dalam aksi perseorangan lelaki, sandaran diletakkan di bahu Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang akan berentap dengan pemain dari peringkat kelayakan pada pusingan pertama esok dan turut mengambil bahagian ialah Zulfadli Zulkiffli.

Pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang baru dinobat sebagai gandingan nombor satu dunia minggu lalu, akan bertemu wakil tuan rumah Zhang Nan-Liu Cheng.

Turut mengambil bahagian beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang akan berdepan Wu Fang Chien-Lin Xiao Min dari Taiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 8:51 AM