KIAN Meng dan Pei Jing (kanan) pamer aksi hambar selepas tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Hong Kong. -Foto fail
KIAN Meng dan Pei Jing (kanan) pamer aksi hambar selepas tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Hong Kong. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS berakhirnya Terbuka Hong Kong semalam, jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui mengakui bahawa anak buahnya, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tidak menepati jangkaan ditetapkan selepas mereka tersingkir awal pusingan pertama.

Menurut Eei Hui, ia bukan disebabkan kesilapan Kian Meng-Pei Jing ketika di gelanggang tetapi lebih kepada masalah taktikal.

“Ketika di Terbuka China memang Kian Meng kurang sihat kerana demam, namun selepas ke Hong Kong dia sudah sembuh dan ia tidak boleh dijadikan alasan. Apa yang boleh saya katakan dia tidak bermain baik pada pusingan pertama itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kian Meng-Pei Jing tumpas kepada pasangan China, Zhang Nan-Liu Xuanxuan 13-21, 17-21 di pusingan pertama Terbuka Hong Kong dan kekalahan itu sedikit mengganggu peluang mereka untuk melayakkan diri secara automatik ke Siri Super Akhir di Dubai 13 hingga 17 Disember depan.

Ditanya mengenai sama ada Kian Meng-Pei Jing akan beraksi di Dubai, Eei Hui berkata semuanya bergantung kepada peluang anak buahnya itu melayakkan diri.

“Selain itu kita juga akan melihat tahap keadaan mereka sebelum membuat keputusan menghantar mereka beraksi di kejohanan berkenaan (jika layak).

“Mereka masih mempunyai tempoh dua minggu dan sukar untuk mendapatkan latihan khas bagi menempuh kejohanan berkenaan. Apa yang boleh saya janjikan hanyalah untuk menyiapkan mereka sebaik mungkin,” kata bekas pemain beregu wanita negara itu.

Kian Meng-Pei Jing sekarang ini menduduki ranking kelapan Siri Akhir Dunia iaitu kedudukan terakhir untuk layak ke kejohanan berkenaan secara automatik.

Mereka mengutip 39,230 mata, berbanding pasangan Jepun, Kenta Kazuno-Ayen Kurihara yang menduduki tempat kesembilan dengan 32,020 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 8:48 PM