V Shem (atas) Wee Kiong perlu kekal fokus.
V Shem (atas) Wee Kiong perlu kekal fokus.
myMetro

Kuala Lumpur: Bersiap sedia hadapi halangan pertama. Jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan menasihatkan anak buahnya yang juga pasangan nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong melakukan persiapan rapi menjelang pusingan pertama Terbuka China hari ini.

V Shem-Wee Kiong yang juga pilihan kedua kejohanan bakal berdepan tugas sukar seawal pusingan pertama apabila menentang wakil tuan rumah, Liu Cheng-Zhang Nan.

“Mereka mendapat undian sukar. Laluan mereka tidak mudah kali ini. Saya harap mereka sudah bersedia,” kata Jeremy ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, V Shem-Wee Kiong tidak boleh memikirkan pasangan yang berada dalam laluan mereka, sebaliknya harus fokus satu demi satu perlawanan.

“Sekarang ini semua pasangan mampu memberi tentangan sengit,” katanya.

Sementara itu jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui juga mengharapkan anak buahnya, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memberikan aksi terbaik walaupun memperoleh undian sukar bertemu barisan pemain terbaik tuan rumah.

“Ini kejohanan pertama Peng Soong selepas mengalami kecederaan buku lali di Terbuka Denmark bulan lalu. Saya tidak mahu memberi tekanan kepadanya kerana baru mula berlatih sejak lima hari lalu.

“Mereka akan bertemu Zhang Nan-Li Yinhui di pusingan kedua (hari ini) dan jika menang mungkin berdepan pilihan kelima, Zheng Siwei-Chen Qingchen, ia sangat sukar buat mereka. Bagaimanapun, saya harap mereka beraksi dengan baik,” katanya.

Peng Soon-Liu Ying mendapat bye di pusingan pertama dan tidak turun ke gelanggang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2016 @ 8:37 AM