ARTURO Vidal (kanan) memprotes keputusan pengadil atas pembatalan gol Eduardo Vargas.
ARTURO Vidal (kanan) memprotes keputusan pengadil atas pembatalan gol Eduardo Vargas.
Reuters

Moscow: Jurulatih Chile, Juan Antonio Pizzi percaya lebih banyak masa diperlukan untuk memahami teknologi baru selepas pasukannya merasai kesan positif dan negatif sistem Video Pembantu Pengadil (VAR) yang diuji pada Piala Konfederasi di Russia.

Sewaktu menewaskan Cameroon 2-0 pada aksi pertama mereka di Stadium Spartak awal pagi semalam, ‘gol’ Chile dibatalkan pada masa kecederaan babak pertama menerusi keputusan kontroversi yang mana VAR memutuskan Eduardo Vargas berada dalam kedudukan ofsaid ketika menjaringkan gol.

Namun satu lagi rujukan oleh pengadil pada akhir perlawanan menyaksikan Vargas berada dalam senarai penjaring apabila menjaringkan gol sekali lagi.

Pada mulanya percubaannya dikira ofsaid namun gol itu kemudiannya dikira selepas dikaji semula.

“Saya fikir sistem ini perlukan masa. Apa yang kami fahami, kami terlalu mengikut sistem ini dan mungkin timbul keraguan kerana kami sudah biasa dengan situasi lain dalam bola sepak,” kata Pizzi.

“Saya fikir kami perlu tunggu dan lihat, mungkin selepas sudah biasa dengannya, keadaan akan menjadi lebih baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan pembukaan Kumpulan B.

“Gol yang dibatalkan pada akhir babak pertama mencetuskan tekanan kepada pemain kerana mereka tidak biasa dengan situasi itu. Namun sebaliknya, teknologi itu pada akhirnya akan memberikan keadilan dalam perlawanan.

“Satu impak negatif mengenai insiden dengan VAR hari ini adalah sukar buat pemain memberi tumpuan dalam permainan dan biarpun keputusan itu tepat ia memberi kesan terhadap semangat mereka.”

Arturo Vidal melakukan protes kepada pegawai perlawanan selepas pemain keluar ketika rehat namun kemudiannya berkata, tindakan itu berpunca daripada keputusan itu.

“Ini kali pertama kami bermain dengan teknologi baru dan memang benar anda memberi tumpuan ketika berada di padang, jadi apabila ia tidak menyebelahi kami ia sukar untuk difahami.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 9:32 AM