PEMAIN dan pegawai PSN Evo meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sepasukan.
PEMAIN dan pegawai PSN Evo meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sepasukan.
Mohd Rafi Mamat


DUA gol sentuhan penyerang lincah Kamil Azmeer Khamis membantu Pejabat Silvikultur Negeri (PSN) Evo selaku juara selepas menewaskan Pejabat Ladang Hutan Kemasul (PLHK) Temerloh 2-0 pada Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sepasukan Tertutup Persatuan Kebajikan dan Sukan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (PEKSJAP), baru-baru ini.

Perlawanan akhir di padang Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) menyaksikan juara menjulang Piala Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) serta pingat.

Pengurus PSN Evo, Nurfazliza Kamarulbahrin berkata, semangat sepasukan dan persefahaman dalam kalangan pemain menjadi faktor utama kejayaan berpihak kepada pasukannya pada kejohanan itu.

Katanya, gandingan pemain senior dan muda turut menjadi kelebihan kepada pasukan hingga berjaya melangkah ke perlawanan akhir seterusnya berpeluang menjulang kejuaraan.

Menurutnya, selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama kebangkitan menjinakkan lawan dapat dilihat pada babak kedua apabila dua gol berjaya disumbangkan penyerang lincah Kamil Azmeer.

“Episod menjulang piala pengarah JPNP musim ini diharap menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat jabatan, negeri dan kebangsaan selepas ini.

“Saya memuji persembahan beberapa pemain muda walaupun cetek pengalaman namun kesungguhan dipamerkan berjaya meletakkan mereka pada landasan sebenar untuk terpilih mewakili JPNP di peringkat kebangsaan selepas ini,” katanya.

Pada separuh akhir PSN Evo berjaya menewaskan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong 2-1, manakala PLHK menundukkan PSN Elite 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti.

Sembilan pasukan bersaing pada kejohanan membabitkan pejabat hutan daerah di Pahang bertujuan mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan kakitangan JPNP di semua peringkat.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Pengarah JPNP (Pembangunan Dua), Azmeer Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 4:28 AM