PEMAIN bergambar kenangan selepas tamat kejohanan bola tampar.
PEMAIN bergambar kenangan selepas tamat kejohanan bola tampar.
Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pengalaman menjadi kelebihan kepada Unit Pantai apabila mudah menewaskan Unit Mengaya 30-14 sekali gus muncul juara kejohanan bola tampar Tertutup Pejabat Pembangunan Hutan (Timur Satu) Bukit Sekilau di dewan SJK (C) Chung Ching, di sini, kelmarin.

Tempat ketiga dimenangi Unit Tapak Semaian dan keempat Unit Potong Akar. Sebanyak enam pasukan menyertai kejohanan kali pertama diadakan membabitkan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Majlis penyampaian hadiah dilakukan Timbalan Pengarah (Pembangunan 2) Samsu Anuar Nawi.

Ketua pasukan Unit Pantai Syed Abdul Rahman Syed Jaafar berkata, membariskan pemain berpengalaman menjadi faktor utama kejayaan pasukan yang beraksi dengan penuh semangat sepanjang kejohanan.

Katanya, gandingan pemain muda dan senior turut memberi kelebihan kepada pasukan yang mendapat saingan sengit sepanjang kejohanan, percaturan sempurna dilakukan melancarkan lagi misi menjulang kejuaraan.

“Saya puas hati dengan persembahan baik dipamerkan semua pemain sepanjang saingan, cabaran pasukan lawan tidak dapat menggugat prestasi cemerlang Unit Pantai apabila berjaya mencatat kemenangan dalam semua perlawanan.

“Kejayaan dilakar diharap dapat diteruskan pada masa akan datang membabitkan saingan di peringkat negeri,” katanya yang meneruskan saingan kejohanan bola tampar peringkat JPNP di Temerloh, Sabtu ini.

Sementara itu, pengerusi penganjur kejohanan Nurfazliza Kamarulbahrin berkata, sambutan pada kejohanan kali ini begitu mengalakkan selepas penganjuran pertandingan bowling akhir tahun lalu.

“Kami akan terus menganjurkan acara sukan setiap dua hingga tiga bulan sekali dalam usaha mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan kakitangan di semua peringkat selain menjadikan mereka sihat dan cergas.

“Kejohanan yang diadakan turut dapat mencungkil bakat baru untuk membawa cabaran JPNP di peringkat kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 9:22 AM