PASUKAN Unit Pembangunan Biodiversiti Hutan dan Unit Pemuliharan Pesisiran Pantai dan Hutan Bandar bergambar selepas tamat perlawanan.
PASUKAN Unit Pembangunan Biodiversiti Hutan dan Unit Pemuliharan Pesisiran Pantai dan Hutan Bandar bergambar selepas tamat perlawanan.
Rafi Mamat


Kuantan: Pengalaman menjadi kelebihan kepada regu Unit Pembangunan Biodiversiti Hutan apabila muncul juara Kejohanan Sepak Takraw Piala Pejabat Silvikultur Negeri (Zon Pahang Timur) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang selepas menewaskan Unit Pemuliharaan Pesisiran Pantai dan Hutan Bandar 2-0 di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Pahang, kelmarin.

Aksi bersemangat dan permainan mantap dipamerkan regu Khairul Affendy Md Malia, Syed Fakrul Hakim Syed Mahmod dan Othman Mansor membuatkan lawan gagal menyekat setiap libasan dilakukan.

Ketua pasukan Unit Pembangunan Biodiversiti Hutan Khairul Affendy berkata, pengalaman luas menjadi pencetus kejayaan membanggakan pada kejohanan yang julung kali dianjurkan PSN Zon Pahang Timur.

Menurutnya, laluan ke perlawanan akhir dianggap mudah apabila mencatat semua kemenangan sebelum dinobatkan juara pertama merebut piala pusingan Pejabat Silvikultur Negeri (Zon Pahang Timur).

“Saya berpuas hati dengan kejayaan sulung kali ini yang diharap menjadi landasan kepada lebih banyak kemenangan pada peringkat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang tahun depan.

“Pengalaman dan persefahaman mantap pada saingan akhir akan terus digilap bagi memastikan lebih banyak kejayaan diraih pada masa akan datang,” katanya yang menjadi pemusnah lawan sepanjang kejohanan.

Bagi ketua pasukan Unit Pemuliharaan Pesisiran Pantai dan Hutan Bandar Mohamad Jafri Ismail berkata, kurang keserasian antara dia dengan Syed Abdul Rahman Syed Jaffar dan Othman Ismail menjejaskan rentak permainan.

“Banyak kesilapan sepanjang perlawanan hingga menyebabkan lawan mudah menang. Nasib juga tidak banyak menyebelahi kami,” katanya.

Sebanyak 14 pasukan yang mewakili setiap unit menyertai kejohanan julung kali dianjurkan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 8:45 AM