PEMAIN bergambar kenangan selepas kejohanan.
PEMAIN bergambar kenangan selepas kejohanan.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Gandingan pemain berpengalaman Mohd Kamal Mohd Nor dan Jefri Ismail yang melakukan 459 jatuhan pin dinobatkan juara pertandingan bowling Pejabat Silvikultur Negeri (PSN) Zon Pahang Timur 2015 di Mega Lanes Bowling Megamall, kelmarin.

Tempat kedua berpihak kepada Syed Afendi Abd Hamid dan Azul Azali Abd Aziz yang melakukan 455 jatuhan pin dan ketiga gandingan Hasni Yusof dan Mazlan Mat Zin (439 pin).

Kejohanan julung kali diadakan itu disertai lebih 60 pemain terdiri daripada kakitangan dan pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bertujuan mencungkil bakat baru selain mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan pemain.

Kamal berkata, walaupun dia dan Jefri gagal mempamerkan permainan terbaik seperti diharapkan pada kejohanan kali ini namun tetap gembira apabila muncul juara keseluruhan.

Katanya, gagal memberikan tumpuan sepanjang permainan menjadi antara faktor mereka tidak dapat membuat balingan sempurna sebaliknya lebih banyak tersasar hingga hampir dikecewakan lawan.

“Kejayaan ini menjadi landasan terbaik kepada saya dan Jefri untuk melangkah lebih jauh seterusnya mengintai peluang merangkul kejuaraan pada kejohanan akan datang.

“Kejohanan diadakan ini dapat menguji kemahiran setiap pemain, walaupun tanpa kemahiran tinggi namun mereka tetap berusaha melakukan yang terbaik untuk bergelar juara,” katanya yang tidak menyangka bergelar pemenang.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur Nurfazliza Kamarulbahrin berkata, kejohanan kali pertama diadakan itu mendapat sambutan begitu mengalakkan daripada semua kakitangan PSN Zon Pahang Timur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 7:54 AM