PROGRAM ODL yang ditawarkan UKM.
PROGRAM ODL yang ditawarkan UKM.
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melebarkan sayapnya dengan menawarkan program Terbuka dan Jarak Jauh atau lebih dikenali sebagai Open and Distance Learning (ODL).

Umum sedia maklum bahawa UKM adalah universiti awam terkemuka di Malaysia yang menawarkan program pengajian pelbagai bidang melalui mod penyampaian secara konvensional.

Menerusi mod penyampaian konvensional, program pengajian hendaklah mempunyai elemen pertemuan fizikal sekurang-kurangnya sebanyak 40 peratus ataupun menggunakan gabungan pembelajaran dalam talian antara 30 hingga 60 peratus.

Namun, program yang ditawarkan secara mod ODL ini cukup berbeza. Ini kerana ia mengoptimumkan penggunaan teknologi bagi membolehkan pembelajaran dan pengajaran dilaksanakan sepenuhnya dalam talian bertujuan meningkatkan akses pendidikan kepada semua golongan yang layak tanpa halangan disebabkan kekangan masa dan tempat.

Semua program ODL UKM dibangunkan dan ditawarkan berpandukan Kod Amalan Akreditasi Program: Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (COPPA:ODL) yang dikeluarkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berteraskan pembelajaran fleksibel.

Program ODL UKM ini juga direka bentuk bagi membolehkan pelajar mengikuti pembelajaran dengan lebih mudah kerana pelajar boleh akses kepada bahan pembelajaran yang lengkap dengan aktiviti kendiri selain latihan pengukuhan turut dibekalkan di awal semester melalui sistem pengurusan pembelajaran yang interaktif.

Dengan program ODL, pelajar berupaya mengemudi pembelajaran melalui bahan pembelajaran kendiri disokong dengan bimbingan berterusan melalui pertemuan secara bersemuka dalam talian (synchronous) setiap dua minggu sekali selama lebih kurang dua jam bersama pensyarah.

Ia berbeza dengan program konvensional yang berpaksikan kepada pertemuan bersemuka fizikal dan bahan pembelajaran melalui slaid pembentangan yang diterangkan oleh pensyarah semasa kelas berlangsung.

Kelebihan program ODL yang tidak ada pada program konvensional ialah autonomi pelajar dalam melaksanakan pembelajaran secara tidak segerak (asynchronous) mengikut kesesuaian masa masing-masing tanpa perlu hadir ke kelas secara kerap dan panjang,

Ia menjadikan program ODL UKM ini sangat sesuai kepada mereka yang bekerja sepenuh masa atau mempunyai komitmen peribadi dan keluarga dengan kekangan masa yang tidak menentu.

Antara keistimewaan program ODL UKM ialah pembelajaran dan pengajaran sepenuhnya dalam talian selain pengendalian program yang fleksibel melalui pembelajaran tidak segerak (asynchronous) membolehkan pelajar melaksanakan pembelajaran mengikut masa dan komitmen masing-masing.

Dengan program ini, tidak ada lagi istilah terlepas kelas kerana sesi segerak secara 'live' bersama pensyarah (synchronous) akan dirakamkan untuk tontonan semula dan rujukan pelajar.

Pelajar juga tidak perlu menghadiri kelas yang panjang dan memenatkan kerana sesi segerak hanya dilakukan dua kali sebulan, sekitar dua jam dan tidak mengganggu waktu kerja yang lazim.

Selain itu, keistimewaan program ODL UKM ini juga ialah bahan pembelajaran lengkap diberikan di awal semester dan boleh diakses 24/7.

Aktiviti pembelajaran interaktif pula berserta maklum balas sekali gus membolehkan pelajar mengukur pencapaian semasa dan penilaian berterusan sesuai untuk golongan berkerjaya atau pelajar dewasa .

Tenaga pengajar juga terdiri daripada Pensyarah UKM yang berpengalaman dan aktif dalam penyelidikan.

Program ini juga diakreditasi MQA (swaakreditasi) dan diiktiraf kerajaan Malaysia.

Peluang menjadi graduan UKM iaitu 129 Universiti terbaik dunia (QS World University Ranking 2023) dan graduasi pelajar akan diraikan di Majlis Konvokesyen UKM bersama pelajar arus perdana turut menjadi antara keistimewaan program ini.

Sebagai permulaan, UKM ODL menawarkan tiga program iaitu Sarjana Pendidikan dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua, Sarjana Pendidikan dalam Teknologi Pendidikan dan Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian (Usuluddin dan Falsafah).

Justeru, UKM ODL ingin menjemput mereka yang ingin mengikuti program pengajian yang fleksibel dan berkualiti daripada universiti watan terkemuka Malaysia untuk memohon.

Maklumat lanjut mengenai program yang ditawarkan dan bakal ditawarkan boleh diperoleh melalui https://www.ukmodl.com/

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 6:56 PM