INSTITUSI pengajian sudah bersedia mencorakkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) ketika endemik.
INSTITUSI pengajian sudah bersedia mencorakkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) ketika endemik.
Suliati Asri


NEGARA dijangka akan beralih ke fasa endemik penghujung bulan ini bergantung kepada pencapaian kadar vaksinasi dan kepatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang sudah tersedia sekian lama.

Peralihan ini bukan sahaja memberi kesan kepada sektor ekonomi malah kepada sektor pendidikan tinggi yang terpaksa melalui pelbagai fasa.

Menerusi pembukaan universiti yang dijadualkan pada 18 Oktober ini, rata-rata institusi pengajian itu sudah bersedia mencorakkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) ketika endemik.

Pengetua, Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) bekerjasama rapat dengan Bilik Gerakan Covid-19 universiti itu dalam memastikan segala urusan berkaitan pencegahan penularan jangkitan dilakukan secara teratur dan efisien.

Katanya, sebahagian dari inisiatif UM menghadapi perubahan fasa Pelan Pemulihan Negara dan juga peralihan fasa endemik nanti adalah melalui penawaran kursus secara hibrid.

Bagi proses PdP di luar bilik kuliah pula, HEP sudah memulakan aktiviti pembangunan sahsiah secara hibrid melalui kem persediaan Pemudahcara Mahasiswa yang akan membantu UM dalam proses orientasi mahasiswa baharu untuk sesi pengajian 2021/2022 yang akan bermula pada 18 Oktober kelak.

"Antara kandungan kem termasuklah taklimat dan program motivasi secara dalam talian yang diuruskan pengetua dan felo kolej kediaman serta disulami dengan aktiviti fizikal seperti gotong-royong, bina semangat berpasukan, riadah, dan lain-lain berpandukan SOP ketat, sebagaimana anjuran pihak MKN.

"Semua aktiviti bersemuka pula hanya dilaksanakan selepas mereka diasingkan selama 10 hari, setibanya di kampus pada 18 September yang lalu," katanya.

"Hampir 400 Pemudahcara Mahasiswa ini bakal menjadi kumpulan pertama barisan kepimpinan pelajar yang menerima latihan secara hibrid dan membantu lebih 4,000 orang mahasiswa baharu yang dijangka tiba di kampus Lembah Pantai pada 15 dan 16 Oktober nanti," tambahnya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah UM, Danesh Raj Nagarajan berkata, penggunaan konsep dalam talian untuk PdP sudah bermula di sekolah sejak KPM memperkenalkan program Sekolah Bestari bermula dengan 88 sekolah perintis di penghujung 1990an.

Menurutnya, ia kemudiannya diperluaskan kepada semua sekolah melalui Pembestarian Sekolah, seterusnya memperkenalkan penggunaan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog dan sekarang Pelantar Pembelajaran Digital yang diperkasakan sepenuhnya menjelang fasa pandemik Covid-19.

"Di peringkat universiti pula pelbagai usaha diambil untuk mewujudkan pembelajaran secara talian sebelum pandemik lagi, sebagai contoh di UM dengan program minggu e-learning yang ditetapkan pada setiap semester pengajian.

"Oleh itu, saya yakin universiti sebenarnya sudah mampu untuk mencorakkan PdP ketika endemik nanti dengan contoh dan juga pengalaman yang sedia ada," katanya.

Bagaimanapun, menurut Danesh, kurikulum yang dibina juga harus disesuaikan dengan pembelajaran dalam talian atau pun hibrid, termasuklah kandungan yang berpusatkan keperluan mahasiswa dengan mengambil kira kandungan pelajaran, pendekatan pembelajaran dan kaedah penilaian yang berbeza daripada kaedah konvensional.

Selain itu, katanya masalah kemudahan seperti Internet dan pemilikan peranti elektronik seperti komputer untuk setiap pelajar juga perlu diatasi terlebih dahulu agar tidak ada mahasiswa yang keciciran.

UNIVERSITI sudah bersedia dengan kaedah PdP secara hibrid dengan mengambil kira keberadaan pelajar di dalam kelas secara fizikal dan keperluan memenuhi SOP bagi membendung penularan jangkitan.
UNIVERSITI sudah bersedia dengan kaedah PdP secara hibrid dengan mengambil kira keberadaan pelajar di dalam kelas secara fizikal dan keperluan memenuhi SOP bagi membendung penularan jangkitan.

"Sesuatu perubahan yang hendak dilakukan bukan boleh berlaku sekelip mata. Ia memerlukan masa, sokongan dan dorongan yang kuat daripada pelbagai pihak.

"Setiap keputusan yang dibuat akan memberi impak besar terhadap sistem pendidikan di institusi pengajian tinggi berkenaan.

"Oleh yang demikian cadangan saya kepada setiap universiti adalah untuk mendapatkan maklum balas berfokus dalam kalangan mahasiswa berkaitan sistem kelas dalam talian yang sudah dijalankan sebelum ini ketika pandemik," katanya.

Bagi Ketua, Unit Penyelidikan dan Pembangunan, Pusat Penambahbaikan Akademik dan Pembangunan Kepimpinan (ADeC), UM

Profesor Madya Dr Nur Azah Hamzaid, fasa endemik yang akan dilalui nanti tentunya bakal membuka lembaran baru bagi universiti memperkenalkan sistem pembelajaran bersifat hibrid iaitu gabungan pembelajaran secara fizikal dan maya secara serentak atau segerak.

Katanya, kaedah ini dilihat menarik dan pastinya menyokong pelajar dari pelbagai latar belakang dan keperluan pembelajaran.

"Tidak dinafikan kita juga bakal melalui satu lagi fasa adaptasi dalam melaksanakan PdP secara hibrid ini.

"Namun, saya pasti dengan pengalaman sepanjang 18 bulan di bawah pelbagai 'versi' Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pensyarah dan pelajar sudah bersedia," katanya.

Katanya, secara umumnya PKP memberi peluang kepada pensyarah untuk melihat semula teknik dan kandungan pembelajaran sekali gus mereka kini lebih cakna mengenai kaedah kreatif untuk menyampaikan sesi pembelajaran yang menarik.

"Kaedah-kaedah ini bakal memberi kelebihan kepada pensyarah berkenaan untuk menjadi lebih versatil dan serba boleh dalam kaedah penyampaian kandungan pengajaran masing-masing.

"Gabungan pengalaman inilah yang bakal mempersiap pensyarah untuk menghadapi fasa endemik kelak, tanpa mengetepikan keperluan pelajar," katanya.

Timbalan Pengarah Akademik, Pusat Pendidikan Berterusan UM (UMCCEd) Profesor Madya Ts Dr Ainuddin Wahid Abdul Wahab berkata, memasuki fasa endemik dalam masa terdekat, universiti sudah bersedia dengan kaedah PdP secara hibrid dengan mengambil kira keberadaan pelajar di dalam kelas secara fizikal dan keperluan memenuhi SOP bagi membendung penularan jangkitan.

Katanya, UM melalui UMCCed selaku pusat koordinasi antaranya sudah memperkenalkan mod pendidikan secara jarak jauh (RL) yang sememangnya sinonim dengan PdP secara hibrid.

"Melalui program ini, bilik-bilik pengajaran terpilih sudah dilengkapkan dari segi teknologi dan peralatan yang diperlukan untuk proses PdP hibrid.

"Menggunakan platform seperti Google Meet, Zoom dan Microsoft Teams; teknologi aplikasi seperti Strava dan Huawei Health; aktiviti seperti virtual run, e-games, pidato, perjumpaan pelajar dan webinar juga sudah dirancang untuk membolehkan keterlibatan pelajar secara hibrid.

"Secara tidak langsung, keadaan semasa juga menjadikan mereka yang terbabit semakin peka akan keperluan untuk menyediakan diri dan bergerak seiring dengan teknologi semasa," katanya.

PELAJAR perlu patuhi SOP sebaiknya.
PELAJAR perlu patuhi SOP sebaiknya.

Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Ir Ts Dr Muhammad Mokhzaini Azizan pula berkata, sejak mula pandemik Covid-19, USIM sudah mempertingkatkan pengoperasian dan memastikan perkhidmatan keutamaan dioptimum menerusi pelbagai usaha kreatif serta inovatif.

Menuju ke arah fasa endemik menurutnya, USIM terus mengintai peluang dan ruang yang bakal hadir demi kelangsungan serta masa depan pendidikan tinggi bagi semua pelajar

"Proses PdP secara dalam talian akan diteruskan walaupun pelajar dibenarkan kembali ke kampus secara fizikal.

"Pihak USIM juga sudah mengenalpasti kursus-kursus pengajian yang boleh dijalankan secara keseluruhan melalui kaedah atas talian.

"Keupayaan platform PdP atas talian di USIM juga dipertingkat ke tahap optimum, di mana bukan sahaja proses PdP data dijalankan secara dalam talian, malah penilaian juga boleh dilaksana secara atas talian dan masa nyata," katanya.

Dr Muhammad berkata, demi memastikan proses PdP berjalan lancar dan memenuhi tuntutan kualiti dari semua pemegang taruh, pemerkasaan staf akademik diteruskan secara berfasa.

"Ini adalah untuk memastikan medium PdP yang efektif dapat diwujudkan, waima secara dalam talian.

"Teknik terbaharu dan moden serta penggunaan gamification/animasi yang bukan sahaja dapat membawa galakan kepada pengajian berkesan malah mampu menyumbang kepada pengalaman belajar yang menarik demi kebaikan semua pelajar," katanya.

"Aspek kualiti pendidikan juga terus diberikan penekanan yang tinggi oleh USIM di mana menerusi keanjalan waktu, pelajar dan staf akademik diberikan keluasan ruang dan masa untuk menyempurnakan tugas serta tanggungjawab masing-masing," tambahnya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) Madyasir Ahmad Basir berkata, UMP kini dalam keadaan bersiap siaga menuju ke fasa endemik Covid-19.

Menurutnya, antara persediaan yang sudah dilakukan termasuklah mewajibkan semua pelajar, pensyarah dan warga kerja lengkap vaksinasi (selepas 14 hari dos kedua) sebelum pulang ke kampus selain melakukan saringan ujian RTK kepada semua pelajar sebelum semester baharu bermula.

"Sesi PdP pula akan dilakukan secara hibrid, keutamaan kelas secara fizikal akan diberikan kepada golongan berkeperluan khas (masalah Internet, modul yang sukar dilakukan secara dalam talian dsb).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 7:00 AM