DR Nurbiha menerangkan mengenai operasi ODL di Universiti Teknologi Malaysia.
DR Nurbiha menerangkan mengenai operasi ODL di Universiti Teknologi Malaysia.

Bagi memperkasakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menganjurkan siri webinar Pembudayaan Pembelajaran Digital Melalui Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata, penganjuran webinar itu ialah sebahagian daripada usaha menambah baik ODL selepas setahun setengah negara dilanda pandemik Covid-19 dan pelajar menjalani PdP secara maya.

Menurutnya, siri pertama webinar membincangkan mengenai perkongsian amalan baik dan cara penyampaian pembangunan bahan berbentuk dalam talian.

"Selain tu, perkongsian dasar mengenai ODL turut disentuh bukan hanya memberi fokus kepada program ditawarkan 100 peratus dalam talian, tetapi juga program campuran konvensional dan maya.

"Kini, semua IPT dibenarkan untuk menawarkan program ODL, namun piawaian standard MQA tetap perlu dipatuhi, justeru fleksibiliti yang diberikan dalam penawaran program ini perlu dimanfaatkan," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pembukaan siri seminar berkenaan.

Turut hadir secara maya ialah Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik JPT, Prof Madya Dr Wan Zuhainis Saad.

Perkongsian sesi webinar itu dimulakan dengan taklimat mengenai pengenalan kepada ODL disampaikan Pengarah Kanan (Akreditasi) MQA, Lilian Kek Siew Yick kepada lebih 1,500 peserta yang mengikuti program itu di aplikasi Zoom dan YouTube.

Sesi pleno pagi dikendalikan Pengarah Kanan (Pembangunan Dasar dan Kepakaran) MQA, Mohamad Dzafir Mustafa dengan topik perkongsian amalan baik oleh tiga panelis iaitu Dr Mohamad Afzhan Khan Mohamad Khalil dari Open University Malaysia (OUM), Dr Nurbiha A Shukor (Universiti Teknologi Malaysia) dan Profesor Ts Dr Neo Mai Taw (Multimedia University).

Manakala sesi pleno sebelah petang pula dikendalikan Pengarah Bahagian Standard MQA, Kamarul Bakri Abd Aziz dengan dua ahli panel iaitu Profesor Dr Andy Liew Teik Kooi (HELP University) dan Profesor Madya Dr Azidah Abu Ziden (Universiti Sains Malaysia).

Siri webinar kedua diadakan pada 8 September lalu diikuti dengan siri ketiga pada 15 September ini dan keempat (22 September depan) dengan fokus perkongsian praktik pakar berkaitan pembangunan bahan pembelajaran kendiri serta penilaian pelajar dalam pelbagai bidang pengajian.

Sementara itu, Wan Zuhainis berkata, penganjuran webinar itu amat penting dalam membudayakan PdP secara dalam talian kerana sedar atau tidak sepanjang pandemik, kini PdP dijalankan 100 peratus dalam talian untuk kebanyakan program.

Sebab itulah, katanya, pentadbir, pensyarah dan pelajar IPT perlu memahami dan menghayati ODL sepenuhnya.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mendukung hasrat kerajaan untuk melaksanakan pengajian terbuka ke arah pendemokrasian pendidikan tinggi.

"Kini, KPT membenarkan IPT untuk menawarkan program, pendaftaran dan PdP dalam talian termasuk untuk pelajar antarabangsa mengikut garis panduan disediakan MQA, namun perlu dipastikan PdP secara maya ini berkualiti serta berimpak tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 6:35 AM