KAEDAH pembelajaran atas talian belum menggantikan sepenuhnya pembelajaran secara tradisional.
KAEDAH pembelajaran atas talian belum menggantikan sepenuhnya pembelajaran secara tradisional.
MATLAMAT utama mahasiswa untuk menggenggam segulung ijazah dengan cemerlang.
MATLAMAT utama mahasiswa untuk menggenggam segulung ijazah dengan cemerlang.
Fazurawati Che Lah


HAMPIR semua universiti awam (UA) dan institut pengajian tinggi (IPT) swasta mempunyai sistem Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) dalam talian atau e-Learning seiring dengan perkembangan pendidikan semasa.

Namun kaedah alam maya itu masih belum dapat menggantikan kaedah pembelajaran tradisional sepenuhnya dan hanya sebahagian sahaja IPT dan mahasiswa menggunakan PdP alam maya ini.

Tidak dinafikan kaedah ini banyak digunakan oleh penuntut yang mengikuti pengajian jarak jauh.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Afandi Ahmad, berkata PdP secara dalam talian adalah kontra kepada pertemuan bersemuka.

Katanya, PdP secara dalam talian bukanlah perkara asing di universiti, apatah lagi menerusi falsafah cybergogy (pembelajaran maya) yang begitu dekat dengan generasi hari ini selain daripada heutagogy (pembelajaran sendiri) dan paragogy (pembelajaran berorientasikan rakan sebaya).

"Menghadapi perubahan gaya pembelajaran seperti ini tidaklah mudah. Penuntut mesti memaklumkan kepada pensyarah keupayaan akses Internet mereka bagi memastikan pensyarah tidak pukul rata dalam melaksanakan PdP dalam talian.

"Dalam pada itu, dengan keterbatasan pergerakan, pelajar hendaklah memanfaatkan sepenuhnya sumber dalam talian, misalnya buku elektronik, YouTube malah juga kalkulator saintifik," katanya.

PdP atas talian memerlukan kerjasama antara pensyarah dan penuntut.
PdP atas talian memerlukan kerjasama antara pensyarah dan penuntut.

Katanya, selepas bermulanya episod kes jangkitan pandemik Covid - 19 pada Januari lalu sehingga membawa kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan lanjutan sehingga 14 April ini memberi cabaran kepada universiti dalam menghadapi pengajian yang berbeza.

"Persoalannya, bagaimanakah kelangsungan universiti pada musim mencabar ini? Berupayakah pensyarah dan penuntut menghadapi cabaran pengajian yang lebih berbeza? Mahasiswa secara keseluruhannya boleh dikatakan masih terkejut. Mereka tidak menjangka bahawa cuti kali ini luar biasa panjangnya.

"Pensyarah juga tidak kurang cabarannya, perlu menyesuaikan diri dengan mod bekerja dari rumah. Ini kerana amanah melaksanakan PdP tetap perlu diteruskan.

"Tetapi bagaimana? Jelas sekali, PdP secara dalam talian adalah antara pilihan yang ada," katanya.

Katanya, mengambil kira cabaran sama ada penuntut masih berada di kampus atau di rumah, mereka mesti lebih berdisiplin kerana mereka tidak perlu berkejaran ke dewan kuliah, tetapi hanya perlu duduk di depan komputer atau bersama telefon bimbit bagi mengikuti pengajian.

Dalam hal yang sama,jelasnya pensyarah juga mesti mengubah cara mereka bekerja.

"Pensyarah mesti mengambil tahu latar belakang sosio-ekonomi penuntut dan tahap keupayaan pembelajaran mereka. Pensyarah tidak lagi boleh duduk selesa dengan kaedah tradisional. Teknologi perlu menjadi teman setia sebagai alat bantu bagi proses PdP.

"PdP secara atas talian dikategorikan sebagai pembelajaran segerak dan tidak segerak. Perbezaan ini mesti difahami agar pensyarah boleh melaksanakannya secara inklusif untuk semua kumpulan penuntut walau di mana sahaja mereka berada," katanya.

PEMBELAJARAN segerak atas talian membabitkan pembabitan ramai penuntut dalam satu masa.
PEMBELAJARAN segerak atas talian membabitkan pembabitan ramai penuntut dalam satu masa.

Pembelajaran segerak ialah PdP dalam talian yang berlaku secara serentak antara dua atau lebih pihak pada masa nyata, misalnya persidangan video dan perbualan langsung.

Konsep ini memerlukan fasiliti yang sangat baik antara pensyarah dan penuntut serta akses capaiannya dan kaedah ini membabitkan kos yang tinggi.

Manakala PdP dalam talian tidak segerak pula adalah sesi yang dilangsungkan secara tidak serentak dan berpusatkan mahasiswa dengan memanfaatkan sumber dalam talian yang terhad. Ini dijalankan bagi memudahcara kekangan masa nyata, fasiliti serta keberadaan pensyarah dan pelajar.

Kaedah ini antaranya dalam bentuk video tersimpan, pembacaan artikel, kiriman perbincangan dan perkongsian nota.

Justeru, Afandi berkata ke arah memaksimumkan konsep kuliah digital, antara yang boleh dipertimbangkan ialah pensyarah hendaklah tidak memindahkan keseluruhan slaid kepada video tanpa langsung ada suara dan wajah mereka kerana keberkesanan PdP masih dipengaruhi elemen suara dan wajah.

Katanya, ini bagi memperkukuh interaksi antara pelajar dan pensyarah, kedua-dua pihak mesti boleh melihat antara satu sama lain.

Selain itu, jelasnya, PdP dalam talian juga mesti berpusatkan penuntut dan mereka perlu lebih aktif dan berdikari selain mewujudkan kumpulan belajar berkumpulan bagi membolehkan diskusi dan bantuan berlaku sesama mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 7:00 AM