POKOK pisang tanduk perlukan pengairan baik bagi memastikan tidak mengalami masalah pokok bantut dan buah ringan.
POKOK pisang tanduk perlukan pengairan baik bagi memastikan tidak mengalami masalah pokok bantut dan buah ringan.
ANAK pokok kultur tisu menjamin hasil buah berat, pertumbuhan sekata dan bebas penyakit.
ANAK pokok kultur tisu menjamin hasil buah berat, pertumbuhan sekata dan bebas penyakit.
SETIAP plot keluasan kira-kira 0.81 hektar dijangka mampu memuatkan 1,500 hingga 1,600 pokok.
SETIAP plot keluasan kira-kira 0.81 hektar dijangka mampu memuatkan 1,500 hingga 1,600 pokok.
Nurul Husna Mahmud


PENANAMAN pisang tanduk antara yang menguntungkan apabila menerima permintaan dua kali ganda ketika musim perayaan.

Menurut Pengasas Changloon Agro Farm (CAF) Azuwan Azlan, ia berikutan kebergantungan pengusaha produk makanan tempatan terutama usahawan kerepek yang banyak menggunakan pisang tanduk dalam penghasilan produk mereka.

"Permintaan cukup tinggi daripada pasaran tempatan terutama sektor makanan bagi tujuan pembuatan kerepek dan produk berasaskan pisang itu dijangka mewakili 70 peratus hasil jualan.

"Sementara 30 peratus lagi adalah untuk pasaran buah segar dan pengusaha kerepek daripada kelompok usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) sekitar utara termasuk Kedah.

"Petani yang mengusahakan pisang tanduk yang berjaya mendapat hasil dalam tempoh dua bulan hingga tiga bulan sebelum perayaan boleh melihat sendiri permintaan serta harga yang lebih stabil terhadap hasil jualan pisang berkenaan menjelang musim perayaan," katanya.

Tambah Azuwan, penanaman buah pisang tanduk menerusi kaedah moden dan terancang juga membantu petani meraih hasil stabil selain rendah risiko.

"Kaedah penanaman kurang berisiko dengan penggunaan anak tisu kultur membantu pengusaha meraih hasil stabil iaitu antara 10 hingga ke 16 tan semusim.

AZUWAN melihat buah premium boleh mencapai kira-kira 10 hingga ke 16 kilogram setandan.
AZUWAN melihat buah premium boleh mencapai kira-kira 10 hingga ke 16 kilogram setandan.

"Pengalaman kami sendiri iaitu menyasarkan setiap plot iaitu keluasan tanah kira-kira 0.81 hektar ditanam dengan anak pokok ini setiap dua bulan mampu meraih hasil 10 hingga 16 tan semusim ketika dituai.

"Lebih baik jika jumlah itu dapat ditingkatkan sekali ganda bagi membolehkan hasil tuaian jatuh pada bulan sebelum perayaan. Ia meningkat hingga ke 20 tan bagi menampung permintaan pasaran makanan raya," katanya.

Kata Azuwan, bagi memastikan petani berupaya menampung keperluan semasa, beberapa pendekatan diambil seawal pemilihan anak pokok lagi.

"Seperti saya maklum petani yang mahu menjamin penghasilan buah yang berkualiti premium iaitu 10 hingga 16 kilogram setandan, penggunaan anak pokok kultur tisu adalah pilihan terbaik.

"Biasanya tandan buah berat dan besar selain tumbesaran sekata serta mempunyai daya tahan dari serangan penyakit.

"Faktor lain tidak kurang penting adalah sumber tadahan air mencukupi bagi persiapan jika berlaku kemarau yang panjang dalam tempoh penanaman.

KAEDAH penjarakan pokok tepat mengelak pesaingan antara pokok.
KAEDAH penjarakan pokok tepat mengelak pesaingan antara pokok.

"Penyediaan tapak juga sangat penting terutama di kawasan bebas banjir dan memiliki pH tanah yang baik.

"Begitu juga keadaan tanah juga tidak berbatu bagi memastikan sistem pengairan air kepada tanaman lancar," katanya.

Beliau memberi penekanan terutama dalam aspek pengairan dan sumber air mencukupi kerana risiko dialami petani termasuk pokok boleh terbantut selain hasil buah yang ringan menjejaskan pendapatan mereka.

"Formula menanam pokok pisang tanduk adalah mengekalkan jarak 2.1 kali 2.1 meter supaya tidak wujud persaingan antara pokok bagi baja dan sumber penting lain ketika pertumbuhan dalam tempoh tujuh bulan apabila pokok sudah mengeluarkan sulur tandan pisang.

"Ketika proses awal penyediaan tapak, iaitu tujuh hari sebelum kerja penanaman kami akan letakkan baja tahi ayam dan racun serangga bagi mengelakkan serangan perosak seperti anai-anai serta bakteria.

"Persiapan untuk anak pokok pula, setiap benih itu dicelup ke dalam larutan antibakteria selama seminit bagi memastikan ia bebas serangan bakteria. Kemudian barulah ditanam ke dalam lubang dengan kedalaman antara 12.7 hingga 25.4 sentimeter.

KEREPEK antara produk utama daripada pisang tanduk.
KEREPEK antara produk utama daripada pisang tanduk.

"Rutin pembajaan hanyalah bermula ketika usia pokok mencecah tiga bulan sehinggalah tujuh bulan mengikut jenis dan formulasi baja tertentu. Anggaran, pada bulan yang kesembilan hasil sudah sedia dituai," katanya.

Pihaknya mendapat sokongan penuh dari agensi berkaitan termasuklah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di bawah program Agro Makanan peringkat Kubang Pasu, Kedah dan juga Jabatan Pertanian Negeri Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 6:30 AM