ANAK benih pisang yang dijaga rapi.
ANAK benih pisang yang dijaga rapi.
Hidayatidayu Razali


Walaupun mempunyai segulung ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang pelancongan, lelaki ini menyahut cabaran untuk menjadi pengusaha agropelancongan yang berjaya dalam tempoh lima tahun lagi.

Bagi menjayakan hasrat berkenaan, Dr Asran Alias, 40, memulakan pertanian dengan menanam pokok pisang sejak lebih setahun lalu.

Katanya, sebagai permulaan dia menanam dua jenis pokok pisang iaitu pisang tanduk dan berangan di atas tanah seluas 3.2 hektar yang bermula sejak April tahun lalu.

"Langkah awal, saya menanam sebanyak 2,000 pokok pisang berangan dan 1,000 pokok pisang tanduk hasil daripada anak benih yang terpilih.

"Alhamdulillah, tanaman ini hidup subur dan mengeluarkan hasil memberangsangkan sehingga dapat memenuhi pasaran di sekitar kawasan kampung dan Tanah Merah, Kelantan.

"Pokok pisang ini boleh dituai hasilnya antara lapan bulan hingga setahun," katanya yang mengusahakan kebun pisang di Kampung Lalang Pepuyu di Tanah Merah.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, dia bersyukur kerana tanaman yang diusahakan hidup subur dan buah pisang yang dihasilkan di kebunnya dapat memenuhi permintaan pelanggan.

Suami kepada Norashikin Mahamad, 36, itu berkata, dia tidak menyangka buah pisang mendapat permintaan yang tinggi dan hasil dari kebunnya laris dijual setiap kali dituai.

DR Asran Alias di kebun pisangnya.
DR Asran Alias di kebun pisangnya.

Dr Asran berkata, bagi penjagaan pokok pisang, dia menggunakan baja organik dan kimia. Proses pembajaan dijalankan sebulan sekali.

Menurutnya, bagi semburan racun pula akan dijalankan dalam tempoh tiga bulan sekali termasuk racun rumput, makhluk perosak dan kawalan serangga.

Katanya, daripada proses mencuci kebun, menanam, menjaga anak pokok serta membaja diuruskan sendiri selain dibantu pekerja.

"Saya akan memastikan kebun pisang sentiasa bersih dan menjaga pokok supaya dapat hidup subur serta berbuah mengikut masa yang ditetapkan.

"Saya bersyukur kerana keputusan untuk menjadi 'petani' ini mendapat sokongan keluarga. Keputusan saya untuk mengusahakan kebun pisang tidak merugikan, malah rezeki ini turut dikongsi bersama dua pekerja.

"Jika sebelum ini saya bekerja sebagai penjawat awam, saya mengambil keputusan berhenti kerja pada 2020 selepas berkhidmat selama 14 tahun kerana mahu bekerja sendiri," katanya.

Katanya, tidak mudah untuk dirinya membuat keputusan berhenti kerja makan gaji kerana kehidupan dahulunya cukup selesa berikutan cukup bulan akan dapat gaji.

TANAMAN pisang yang hidup subur.
TANAMAN pisang yang hidup subur.

Sebaliknya apabila kerja sendiri, ia perlu pengorbanan termasuk daripada segi masa, kewangan dan sebagainya untuk mengusahakan hasil tanaman dan pada masa yang sama untuk memastikan usaha itu berjaya.

"Walaupun baharu sahaja menceburi bidang ini, saya bersyukur kerana memperoleh apa yang diimpikan termasuk menggaji dua pekerja yang banyak membantu meringankan beban.

"Saya juga menyasarkan untuk menjadikan kawasan kebun saya ini sebagai lokasi agropelancongan dalam masa lima tahun lagi. Untuk memastikan usaha ini berjaya, saya turut menanam beberapa pokok buah lain termasuk durian, rambutan, manggis, duku, dokong, durian, nam-nam, pulasan dan pelbagai jenis kelapa," katanya.

Selain itu, Dr Asran berkata, dia juga menanam 20 pokok bunga sakura di sepanjang jalan dan tanaman pelbagai spesies keladi di tengah kebun sebagai tarikan untuk bergambar.

Katanya, bagi memenuhi hasrat menjadikan lokasi itu sebagai pusat pelancongan, pelbagai kemudahan pada masa akan datang termasuk bakal dibina termasuk kolam renang, pusat bekam dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 6:07 AM