UNTUK harga ladang, tahun lalu sahaja, jambu air gred AA boleh mencecah RM6 sekilo. Manakala gred B pada RM5 dan C pula RM4.
UNTUK harga ladang, tahun lalu sahaja, jambu air gred AA boleh mencecah RM6 sekilo. Manakala gred B pada RM5 dan C pula RM4.
Suliati Asri


Keenakan jambu air memang tidak terkata. Namun untuk mendapatkan buah yang tidak hanya rangup, tetapi sedap dan manis memerlukan penjagaan yang rapi.

Pengarah Labis Sunrise Farm, Tang Qian Wei berkata, jambu air adalah tanaman bermusim.

Namun sebagai pengeluar buah jambu terbesar di Johor dan bagi memastikan bekalan tidak putus, penanaman dilakukan tanpa mengikut musim.

"Dengan keluasan keseluruhan Labis Sunrise Farm iaitu lebih 60 hektar (150 ekar), lebih 16 hektar adalah kawasan penanaman pokok jambu air dengan 3,750 pokok.

"Di awal penanaman pokok ini, kami melakukannya secara berperingkat mengikut blok tanaman. Dengan itu, setiap bulan ada hasil buah jambu air," katanya.

QIAN WEI
QIAN WEI

Pokok jambu air adalah pokok tahan lasak dan boleh hidup sehingga 100 tahun jika dijaga mengikut cara yang betul.

Bermula dari benih, pokok jambu air ini akan mengeluarkan buah bunga selepas lima tahun. Daripada proses berbunga hingga buah petik, ia mengambil masa 100 hari.

Sebagai mengeluar jambu air terbesar di Johor, untuk mendapatkan buah yang manis dan bersaiz besar, perkara paling penting ketika musim berbuah bermula dari ia berbunga.

Kata Qian Wei, ketika itulah air perlu dijaga, baja yang cukup dan cara pembungkusan betul.

TANAMAN ini tidak memerlukan banyak air.
TANAMAN ini tidak memerlukan banyak air.

"Ini kerana kalau tersilap langkah, ia boleh mempengaruhi saiz buah dan rasanya," katanya.

Dalam apa juga tanaman, apabila akarnya belum menjalar, ia memerlukan air yang banyak dan perlu disiram hari-hari.

Jika pokok berusia lebih kurang empat tahun dan sudah stabil, kita boleh jarakkan kekerapan menyiram dalam dua minggu atau sebulan sekali.

"Tetapi, untuk jambu air ini, ia tidak memerlukan banyak air dan perkara paling kami takutkan adalah musim hujan.

JAMBU air mempunyai peminatnya tersendiri.
JAMBU air mempunyai peminatnya tersendiri.

"Apabila musim hujan, buah akan menyedut banyak air, sekali gus mengakibatkan buah pecah (buah rosak).

"Sebab itu, ketika musim hujan biasanya jambu air jadi putih dan ada pecah-pecah sikit. Itu maksudnya air masuk terlalu banyak," katanya.

Selain itu, untuk mendapatkan buah yang cantik, Qian Wei berkata, ketika proses pembungkusan buah, mereka akan mengehadkan sebatang pokok maksimum hanya 350 bungkus.

Biasanya mereka akan buang bunga dan buah yang tidak cantik dan mengehadkan empat hingga lima biji jambu saja setiap bungkus.

POKOK jambu air adalah pokok yang tahan lasak.
POKOK jambu air adalah pokok yang tahan lasak.

"Ia perlu dihadkan kerana jika terlalu banyak, buah yang membesar tidak cantik dan saiz terhasil adalah gred C.

"Begitu juga dengan dahan pokok. Kami akan menebang dahan pokok yang paling hujung kerana ia kurang mendapat nutrisi (baja), sekali gus menjadikan buah kecil serta dahan bahagian itu mudah patah," katanya.

"Untuk jambu air, kami pakai dahan lebih kuat untuk mendapatkan hasil terbaik iaitu gred AA atau A," tambahnya.

Untuk harga ladang, tahun lalu sahaja, jambu air gred AA boleh mencecah RM6 sekilo. Manakala gred B pada RM5 dan C pula RM4.

Selain jambu air, Labis Sunrise Farm turut menanam 10 jenis buah antaranya buah jambu batu, nangka, manggis, ciku, durian, rambutan, pisang dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 6:30 AM