PISANG tanduk mempunyai saiz yang lebih besar dan isi lebih padat.
PISANG tanduk mempunyai saiz yang lebih besar dan isi lebih padat.
Nurul Husna Mahmud


PENANAMAN pisang tanduk menggunakan anak benih daripada kultur tisu menghasilkan buah berkualiti premium selain mengurangkan risiko serangan penyakit.

Menurut pengusaha tanaman itu yang juga Pengarah Jasa Terus, Nilesh Babul Patel, anak benih pisang tanduk daripada tisu kultur dihasilkan di dalam makmal.

Ia bertujuan memastikan hanya ciri-ciri genetik terbaik diambil dalam proses penghasilannya termasuk rintangan kepada penyakit.

"Penanaman pisang tanduk secara komersial diusahakan saya bersama sepupu, Mark Thilley, pada kebun berkeluasan 10 hektar selain memilih menggunakan anak benih tisu kultur berbanding kaedah sulur ataupun anak pokok.

"Harganya anak pokok tisu kultur jauh lebih tinggi iaitu RM3 sepokok berbanding anak pokok sulur iaitu 70 sen sahaja.

"Ia satu pelaburan penting terutama penanaman secara komersial bagi menghasilkan buah yang bermutu sesuai dengan permintaan pasaran.

"Penting sekali, hasil buah pisang tanduk dapat memenuhi permintaan pasaran apabila kualiti buah yang dihasilkan sesuai untuk spesifikasi diperlukan perusahaan kerepek tempatan," katanya.

Menjelaskan pisang tanduk keluaran ladangnya di Kelanang, Banting, Selangor diusahakan sejak 2019 itu mendapat permintaan tinggi ketika tuaian pertama kerana hasil buahnya yang padat selain tekstur lebih kuning.

"Jika petani menggunakan anak benih kultur tisu, pengeluaran hasil juga lebih seragam terutama setiap buah daripada setiap pokok memiliki purata berat dan jumlah sisir yang tidak jauh beza.

"Paling penting boleh kawal kualiti buah yang dihasilkan seperti isi lebih padat, saiz lebih besar dan warnanya lebih kuning berbanding pokok pisang sulur," katanya.

PISANG tanduk memiliki keberatan sekitar 8 kilogram apabila dituai.
PISANG tanduk memiliki keberatan sekitar 8 kilogram apabila dituai.

MARK bersama mesin semburan racun.
MARK bersama mesin semburan racun.

Pisang daripada benih kultur tisu juga memastikan pengeluaran pisang tanduk gred premium dengan berat sekitar 8 kilogram sehinggalah 13 kilogram bagi setiap pokok.

Kata Nilesh, dalam kaedah kultur tisu juga ada peraturan tertentu iaitu tidak boleh menggunakan sel induk yang sama berulang kali bagi mengelak ancaman penyakit.

"Seperti tanaman konvensional, kaedah untuk menghasilkan anak benih juga tidak boleh dihasilkan berulang-kali dengan induk yang sama kerana itu boleh menyebabkan kualiti anak benih untuk 'batch' baharu menyusut.

"Pernah sekali kami mendapat benih tidak begitu elok, apabila dikaji ia berpunca anak benih itu dihasilkan daripada induk yang sama untuk kali ketiga.

"Sebaik-baiknya setiap musim, perlu kenal pasti pokok mana yang berkualiti untuk dijadikan sebagai induk bagi penghasilan anak benih musim akan datang," katanya.

Sementara itu, Mark Thilley berkata, bagi musim kedua tanaman itu diperluaskan kepada 10 hektar lagi dan menggunakan bantuan mesin atau teknologi.

"Kali pertama kerja penanaman pisang ini mencabar dan memerlukan tenaga kerja ramai kerana kebanyakan dilakukan secara manual.

"Kini rutin seperti baja dan racun sudah ada mesin khas memang diimport dari luar dan digabung bersama traktor kecil membantu memudahkan urusan penjagaan pokok," katanya.

Seperti penjagaan pokok pisang lain, pokok pisang amat memerlukan air mencukupi dan juga baja memastikan pokok dapat mengeluarkan jantung dan berbunga pada bulan keenam.

LADANG pisang tanduk.
LADANG pisang tanduk.

"Buah pisang tanduk terhasil daripada jantung pokok. Biasanya pokok yang sihat akan menghasilkan jantung pada bulan keenam atau ketujuh.

"Dalam tempoh lapan minggu berikutnya dari jantung, beransur-ansur pembentukan buah yang sedia dituai.

"Kerja penjagaan pokok amat penting dalam tempoh enam bulan pertama, termasuk mencantas daun dan sulur pokok bagi memastikan pertumbuhan buah serta pokok dapat berlangsung dengan baik," katanya.

Musim pertama, harga jualan pisang tanduk sangat menggalakkan berikutan dituai mendekati musim perayaan.

"Permintaan ketika itu memang tinggi dan jualan lebih RM2.50 sekilo hingga RM2.80.

"Musim kedua ini hasil banyak, tetapi permintaan berkurang, berlaku penurunan harga kepada harga jualan pisang.

"Namun kami masih boleh menjana keuntungan kerana ladang ini mencapai pelbagai prospek pasaran iaitu pengilang kerepek, penjaja dan peraih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 7:00 AM