MOHD Tamin menunjukkan pisang yang rosak akibat penyakit.
MOHD Tamin menunjukkan pisang yang rosak akibat penyakit.
Hassan Omar


LAYU bakteria atau moko dikesan menyerang hasil tanaman pisang kebanyakan petani di sekitar Masjid Tanah di sini.

Petani yang mengusahakan tanaman pisang nangka, nipah dan berangan mendakwa kerugian selepas mendapati hasil tanaman mereka rosak akibat diserang penyakit itu sejak setahun lalu.

Difahamkan, ancaman penyakit itu tambah serius pada musim kemarau sejak Januari lalu dan ketika ini, kekurangan air menyebabkan bakteria terbabit merebak dengan lebih cepat.

Mohd Tamin Othman, 64, yang mengusahakan kebun seluas 1.2 hektar dengan tanaman pisang, nanas, cempedak, durian, limau nipis, rambutan dan nangka tidak terkecuali daripada mengalami serangan moko.

“Sejak setahun lalu, pisang nangka, nipah dan berangan musnah akibat penyakit itu dan saya mengambil langkah memindahkan anak pisang yang sudah direndam dalam racun dan bahan peluntur ke kebun lain tetapi tetap tidak menjadi.

“Selain bahagian dalam batang pisang membusuk dan menjadi hitam, kesan sama didapati pada buah pisang apabila bahagian dalamnya berwarna hitam menunjukkan ia sudah rosak,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah di sini, semalam.

KEADAAN pokok pisang nangka yang rosak diserang penyakit.
KEADAAN pokok pisang nangka yang rosak diserang penyakit.

Katanya, pokok pisang lang dan tanduk mempunyai daya tahan penyakit yang lebih baik berbanding pisang nangka, nipah dan berangan namun kedua-dua pisang itu menghadapi masalah batang pokok mudah patah akibat kekurangan air pada musim kemarau.

Mohd Tamin yang mengusahakan kebun berkenaan sejak lima tahun lalu berkata, penyakit berkenaan tidak mudah untuk diatasi dengan penggunaan racun atau baja, sekali gus menyebabkan pokok yang sudah dihinggapi penyakit terpaksa dimusnahkan.

Sementara itu, sumber Jabatan Pertanian yang dihubungi berkata, penyakit Moko berpunca daripada jangkitan bakteria Ralstonia Solanacearum yang ada dalam tanah dan boleh hidup antara dua hingga tiga tahun.

Menurutnya, Moko adalah penyakit berbahaya bagi pokok pisang dan setakat ini tiada rawatan khusus yang mampu mengubati jangkitan penyakit itu.

Katanya, sehubungan itu, petani diminta memusnahkan semua pokok dijangkiti dan melaksanakan Amalan Pertanian Baik dengan tidak menanam pisang selama beberapa tahun.

“Selain itu, kawasan berkenaan perlu dikuarantin selama 18 hingga 24 bulan bagi mengurangkan pertumbuhan bakteria dalam tanah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 9:00 AM