KETUM ayam mudah ditanam dan boleh tumbuh lebih satu meter.
KETUM ayam mudah ditanam dan boleh tumbuh lebih satu meter.
Nurul Husna Mahmud


Mampu menjimatkan sehingga 40 peratus kebergantungan kepada dedak atau palet, menjadikan tanaman ketum ayam sebagai sumber makanan alternatif yang popular dalam kalangan penternak haiwan ternakan.

Daun ketum ayam atau nama saintifiknya Trichanthera gigantea turut dikenali dengan 'mandre de agua' adalah sejenis tumbuhan yang berasal dari Amerika Selatan.

Menurut Pengasas Changloon Agro Farm di Changlun, Kedah, Azuwan Azlan, dia mula mengusahakan tanaman renek itu bermula pada 2018 sebagai sumber alternatif kepada ayam ternakan kacukan kampung miliknya.

"Hasrat saya pada mulanya untuk membantu penternak yang begitu terkesan dengan kenaikan harga palet setiap tahun. Situasi harga palet juga dikatakan mempengaruhi harga ayam tempatan terutama menjelang musim perayaan.

"Bagi penternak, kos untuk makanan boleh 'menelan' sehingga 70 peratus keuntungan dan menjejaskan pendapatan mereka peroleh semusim. Jadi, penternak memerlukan sumber makanan ternakan alternatif bagi membantu mengurang kebergantungan kepada dedak atau palet ternakan.

"Pengalaman saya sendiri menternak ayam kampung kacuk, awalnya diberi makan ketum ayam. Hasil pengamatan sendiri mendapati ayam bukan sahaja lebih sihat malah kualiti daging juga lebih baik," katanya.

Azuwan turut melakukan eksperimen pemberian daun ketum ayam kepada ternakan kambing milik bapa saudaranya selain ayam dewasa yang berusia lebih 30 hari.

"Bukan sahaja ayam, kambing dan lembu juga boleh diberi makan ketum ayam. Biasanya saya akan campurkan daun ketum itu dengan napier bersama adunan larutan organik serba guna yang mengandungi mikrob berfaedah (EM).

AZUWAN bersama tanaman pokok ketum ayam diusahakan bagi membantu penternak yang mahu mencari makanan alternatif untuk haiwan ternakan masing-masing.
AZUWAN bersama tanaman pokok ketum ayam diusahakan bagi membantu penternak yang mahu mencari makanan alternatif untuk haiwan ternakan masing-masing.

PENANAMAN ketum ayam atas tanah lebih cepat membesar.
PENANAMAN ketum ayam atas tanah lebih cepat membesar.

"Saya tidak mengesan sebarang masalah pada haiwan ternakan seperti kembung perut atau sebagainya. Malah kambing atau lembu ternakan bertambah sihat dan kualiti daging hampir menyamai kualiti organik," katanya.

Cabaran mengenai penghasilan sumber daun ketum ayam sebagai makanan ternakan, kata Azuwan ketika ini ialah hanya boleh dituai segar untuk diberi kepada haiwan penternak.

"Apabila penternak memilih untuk memberi haiwan ternakan mereka dengan ketum ayam, mereka hanya ada dua pilihan sama ada beli bekalan daun segar kepada penanam ketum ayam atau menanam sendiri.

"Tanaman ini mudah kerana ia ditanam menerusi keratan batang dan biasanya dengan penggalak akar, ia boleh disemai serta kerja menanam boleh dimulakan.

"Aspek penjagaan juga mudah iaitu hanya memerlukan baja daun dan siraman air yang mencukupi. Jika kebetulan musim hujan, kerja menanam lebih mudah," katanya.

Kebiasaan pokok ketum ayam yang ditanam sedia dituai seawal usia tiga bulan dengan tempoh menuai berjarak iaitu dua minggu sekali.

"Pada usia pokok ketum ayam tiga bulan sebenarnya penternak sudah boleh menuai dan memberi makan kepada haiwan ternakan mereka. Mereka boleh menuai dua minggu sekali.

"Bagaimanapun, apabila usia pokok menjengah usia enam hingga tujuh bulan, ia boleh tuai lebih kerap iaitu sehari sekali, tetapi lebih baik jika anda mula menanam secara plot dan menuai mengikut giliran dalam memastikan bekalan daun yang stabil serta pokok juga sihat," katanya.

Azuwan sendiri menanam mengikut sistem plot dan melakukan semaian 1,000 pokok setiap bulan bagi memastikan kelangsungan bekalan dalam nurseri miliknya.

BEKALAN daun segar kepada penternak.
BEKALAN daun segar kepada penternak.

KAMBING antara haiwan ternakan yang boleh diberi ketum ayam.
KAMBING antara haiwan ternakan yang boleh diberi ketum ayam.

"Kapasiti setiap bulan saya mampu bekalkan bagi tanaman ketum ayam ialah 5,000 hingga 10,000 pokok. Sementara permintaan setiap bulan sekitar 2,000 hingga ke 3,000 pokok.

"Sementara bagi daun pula, ketika ini sekitar 800 kilogram sebulan dan saya juga turut membekalkan keratan batang kepada petani yang berhasrat untuk menanam.

"Saya lihat penerimaannya baik dan pernah mendapat permintaan sehingga ke Sabah serta Sarawak yang mahu memperkenalkan sumber makanan ternakan alternatif kepada haiwan ternakan masing-masing," katanya.

Mengenai perancangan masa depan dalam pembangunan produk itu, kata Azuwan, dia berharap dapat kerjasama daripada pihak berkaitan seperti universiti dan pertubuhan tertentu dalam merealisasikan ia dalam bentuk palet.

"Makanan ternakan berasaskan ketum ayam ini hanya dapat dilakukan segar dan itu satu kekangan buat penternak. Saya amat berharap ada pihak sudi menjalin kerjasama terutama universiti tempatan untuk proses ke dalam bentuk palet.

"Selain dapat kekalkan nutrisi terbaik iaitu sumber protein dalam kandungan daun terbabit untuk haiwan, ia juga diharap dapat dikomersialkan dan menjadi penyelesaian kepada masalah penternak yang selama ini terpaksa menanggung bebanan harga palet tidak menentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 6:49 AM