ULAMA fekah memberi pandangan tentang keharusan lafaz ucapan tahniahketika sambutan sesuatu perayaan.
ULAMA fekah memberi pandangan tentang keharusan lafaz ucapan tahniahketika sambutan sesuatu perayaan.
Oleh Dr Mohd Hasrul Shuhari

Pihak Jabatan Mufti Negara Mesir yakni Dar al-Ifta' al-Misriyyah menerusi Muftinya iaitu Prof Dr Sheikh Shauqi Ibrahim 'Allam pada 27 Ogos 2019 menjawab soalan tentang hukum mengucapkan kullu 'am wa antum bi khair (semoga setiap tahun anda berada dalam kebaikan) ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. 

Ini kerana, ada pihak mendakwa bahawa ia tidak disyariatkan dan ia adalah ucapan selamat bagi orang kafir. Ia menyerupai amalan orang kafir yang tidak dibenarkan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia termasuk dalam kalangan mereka." (Hadis riwayat Imam Abu Daud). Maka menurut mereka, tidak dibenarkan untuk memberi ucapan sedemikian sempena Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha termasuk pada waktu-waktu yang lain.

Ini dakwaan yang timbul di Mesir. Penulis belum dengar isu ini timbul di Malaysia seperti yang berlaku di Mesir ini. Semoga ia tidak berlaku dan jika ada pihak yang cuba membawa dakwaan ini, diharapkan ia tidak diikuti. Dakwaan ini kelihatan berasaskan hujah stereotaip pihak tertentu iaitu Nabi SAW tidak buat sesuatu perkara maka sudah pasti hukumnya bidaah atau haram.

Sedangkan yang betulnya adalah Nabi SAW tidak buat, belum tentu secara langsung hukumnya haram, mungkin hukumnya sunat, harus, makruh atau haram bahkan boleh juga berlaku hukumnya wajib sama ada secara fardu ain atau fardu kifayah bergantung kepada al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas, bukan semata-mata al-Quran dan hadis secara literal. Para ulama sudah arif tentang perkara ini.

Menurut Dar al-Ifta' al-Misriyyah tersebut, para ulama bersepakat bahawa al-tarku (ertinya lebih kurang: tiadanya dalil daripada Rasulullah SAW dan salaf soleh berkenaan sesuatu perkara, maka secara langsung menunjukkan hukumnya adalah haram) bukanlah satu-satunya cara pendalilan kerana cara pendalilan adalah menggunakan nas (al-Quran dan hadis), ijmak dan qiyas. Ini adalah kesepakatan dalam kalangan ulama Islam, kerana terdapat shawahid dan athar menunjukkan para sahabat sendiri tidak berpandangan bahawa apabila Rasulullah SAW tidak buat maka hukumnya pasti haram atau makruh. Demikianlah apa yang para fuqaha' fahami sepanjang zaman menurut fatwa tersebut.

Begitu juga menurut Jabatan Fatwa Negara Jordan (Da'irat al-Ifta' al-Urduniyyah), hukum pengharaman dengan hujah Nabi SAW dan para sahabat tidak buat (al-tarku) adalah kaedah yang tidak digunakan oleh para ulama. Perkara yang tidak dibuat oleh Nabi SAW dan para sahabat belum tentu hukumnya haram. 

Pihak Jabatan Mufti Negara Mesir memberi jawapan bahawa disunatkan kepada umat Islam mengucapkan tahniah kepada saudaranya pada apa-apa perkara kebaikan yang diterima olehnya tidak kira sama ada ketika hari raya atau lain-lain majlis khas. Dibenarkan seseorang itu mengungkapkan apa-apa lafaz yang mengandungi makna doa yang baik yang menjadi kebiasaan sesama mereka. Contohnya ungkapan 'aidukum mubarak (semoga hari raya kalian diberkati) dan kullu 'am wa antum bi khair (semoga setiap tahun anda berada dalam kebaikan). 

Dibenarkan untuk mengucapkan tahniah dengan dua ungkapan tersebut kerana di dalamnya mengandungi doa kebaikan dan memberi khabar kegembiraan. Tuduhan bidaah terhadap ucapan ini kerana mengandungi persamaannya dengan apa yang dikatakan oleh orang-orang kafir, ia adalah tuduhan yang batil. Sebaliknya, apa yang dilarang berkaitan penyerupaan dengan orang kafir ialah meniru mereka dalam akidah atau adat yang diharamkan dalam syariat.  

Tambah Jabatan Mufti tersebut, dakwaan membidaahkan dua ungkapan tersebut dan hanya mewajibkan lafaz tertentu merupakan dakwaan yang batil yang tidak berasaskan dalil naqli dan 'aqli. Syarak tidak menentukan apa-apa ungkapan khusus untuk mengucapkan tahniah sebaliknya arahan syarak yang menganjurkan ucapan tahniah adalah dalam bentuk yang umum yang merangkumi keharusan apa-apa lafaz yang mengandungi maksud tersebut yang menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika seseorang itu mendapat kebaikan, maka ucapkanlah tahniah kepadanya." (Riwayat Imam al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)

Terdapat juga hadis yang mengandungi ucapan tahniah dengan pelbagai lafaz dalam pelbagai keadaan. Contohnya hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim, yang mana ketika diturunkan ayat kedua surah al-Fath, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Malam ini telah diturunkan kepadaku surah. Ia lebih aku cintai daripada apa-apa yang matahari terbit di atasnya. Para sahabat mengucapkan tahniah dengan menyebut hanian marian." 

Dalam hadis yang lain riwayat Imam Ahmad, ketika Rasulullah SAW bersabda tentang Saidina 'Ali RA, lantas para sahabat mengucapkan kepadanya: "Hanian laka ya ibna Abi Talib (tahniah kepadamu wahai putra Abu Talib)."

Ada juga lafaz riwayat Imam Ahmad iaitu liyahnika al-tuhr ketika seseorang itu sembuh daripada sakitnya. Contoh riwayat ucapan tahniah sempena pernikahan antaranya barakallah laka wa baraka 'alaikum wa jama'a bainakuma fi khair. (riwayat Imam al-Tirmizi) dan riwayat lafaz 'ala al-khair wa al-barakah wa 'ala khair tair. (muttafaqun 'alaih).

Para ulama fekah memberi pandangan tentang keharusan pelbagai lafaz ucapan tahniah. Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj menyatakan antara ucapan tahniah adalah menyebut barakallah dan seumpamanya sebagaimana yang biasa diucapkan (wa nahw dhalika mimma jarat bihi al-'adah).

Menurut Imam al-Baijuri dalam kitab Hashiyah 'ala Matn Abi Syuja', disunatkan ucapan tahniah ketika hari raya dan seumpamanya dengan bersalaman asalkan bukan sesama lelaki dan wanita yang bukan mahram. Disunatkan juga menjawab ucapan tahniah tersebut dengan ungkapan seperti taqabbalallah minkum, ahyakumullah li amthalihi dan kullu 'am wa antum bi khair.

Ini ringkasan daripada jawapan panjang yang disediakan oleh pihak Jabatan Mufti Negara Mesir. Semoga memberi manfaat kepada pembaca di Malaysia meskipun isu pembidaahan ucapan ini mungkin belum timbul di sini. Perlu dielakkan seboleh mungkin apa-apa tuduhan penyesatan atau pembidaahan terhadap amalan khilafiyyah yang boleh merosakkan hubungan silaturahim dalam kalangan umat Islam. Ini kerana, ukhuwah dan silaturahim merupakan perkara yang disepakati kepentingannya apatah lagi pada hari raya dan seumpamanya yang sepatutnya kesatuan umat Islam diutamakan.

Penulis Prof Madya di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 6:00 AM